Askar Timbalan Setia, Tonggak Kedaulatan Negeri Johor

Sesebuah kerajaan yang berdaulat pasti memiliki ketumbukan tentera bagi mempertahankan kedaulatan dan keamanan negeri daripada ancaman dari dalam mahupun luar. Kekuatan tentera juga perlu dalam misi perluasan tanah jajahan zaman dahulu kala dan sekaligus melambangkang kekuatan negara itu sendiri. Dalam artikel kali ini Orang Johor akan menyentuh mengenai sejarah dan peranan Askar Timbalan Setia Johor yang merupakan satu-satunya pasukan tentera yang dimiliki oleh kerajaan negeri dalam Malaysia.

ASTN 1
Askar Timbalan Setia atau rasminya Askar Timbalan Setia Negeri Johor ialah satu pasukan tentera yang ditubuhkan semasa pemerintahan Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar (Sultan Temenggung Johor ke-2), Sultan bagi jajahan takluk Johor Darul Ta’zim. Sultan Ibrahim Al-Masyhur ibni Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar seorang berfikiran jauh dan telah berjaya memodenkan Negeri Johor. Baginda juga telah berbaik-baik dengan Ratu Kerajaan Great Britain; Ratu Victoria ketika itu sebagai helah untuk mengelakkan campur tangan dan penjajahan Inggeris di negeri Johor dan menghalang cita-cita British untuk menjajah negeri Johor.

ASTN 2

Johor merupakan negeri dalam Tanah Melayu yang pertama memiliki pasukan tentera modennya sendiri dan satu-satunya institusi pasukan tentera yang tertua dalam Malaysia dan dibiayai oleh kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, fungsi Askar Timbalan Setia Johor ini terhad berkenaan hal istiadat istana negeri Johor sahaja. Sebagai sebuah pasukan yang bertanggungjawab terhadap istiadat berkaitan istana, Askar Timbalan Setia Johor terlibat dalam perbarisan kehormat dalam setiap hari keputeraan Sultan Johor dan juga setiap kali pembukaan Persidangan Dewan Negeri Johor.

ASTN 3

Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ditubuhkan pada tahun 1885 dengan kompeni percubaan 60 anak Melayu Johor dan 20 orang askar Punjabi. Anggota Melayu dilatih sebagai askar Infantri sementara anggota Punjabi dilatih sebagai anggota pasukan artileri. Seorang pegawai tentera Inggeris bernama Kapten Newland dilantik sebagai pemerintah pasukan. Orang Melayu yang pertama sekali diberikan tauliah sebagai pegawai ialah Kapten Daud bin Sulaiman. Askar Timbalan Setia Negeri telah diberi panji-panji DiRaja pada 11 Mei 1916.

ASTN 4

Askar Timbalan Setia Johor terlibat dalam usaha mematahkan pemberontakan oleh askar-askar India dari pasukan 5th Light Infantry di Singapura pada tahun 1915. Askar Timbalan Setia telah berjaya menangkap askar-askar yang memberontak yang menyeberang ke Johor merentasi Selat Johor semasa melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa British. Semasa Perang Dunia Pertama, pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor menghantar kontinjen seramai 2 orang pegawai berserta 100 orang anggota ke Berek Tanglin di Singapura untuk membantu mengawal keselamatan di Singapura. Pasukan Askar Timbalan Setia Negeri juga membuat tugas-tugas membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura.

ASTN 5

Pasukan ini juga memberi bantuan menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa), Singapura hingga tamat Perang Dunia Pertama. Selain memberikan bantuan kawalan keselamatan di Singapura, Pasukan Askar timbalan Setia Johor juga memberikan kawalan keselamatan laluan perhubungan di kawasan-kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat termasuk pangkalan udara di Kluang (kini menjadi pangkalan utama Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia).

ASTN 6

Sewaktu Perang Dunia Kedua, Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu di bawah pimpinan Lt. Jen. A. E. Percival sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu. Apabila pasukan Tentera Jepun memasuki negeri Johor, khususnya bandar Johor Bahru, pasukan Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang Tentera Jepun.

ASTN 7

Tahun 1994 merupakan tahun yang mencabar buat Askar Timbalan Setia Johor kerana Kerajaan pusat Malaysia yang ketika itu dipimpin oleh Tun Dr Mahathir pernah mencadangkan pembubaran pasukan Askar Timbalan Setia berikutan krisis berkaitan isu Kekebalan Raja-Raja Melayu dan satu Rang Undang-Undang di panggil Johore Military Forces (Disbandment And Repeal) Bill 1994 telah digubal untuk dibahaskan di Parlimen. Tetapi Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim negara ketika itu menasihatkan Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail di Istana Bukit Serene bahawa Askar Timbalan Setia Negeri Johor diwujudkan jauh lebih dahulu daripada Rejimen Askar Melayu Diraja dan penubuhan serta pengekalan pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah sebahagian daripada hak dan keistimewaan Sultan dan rakyat Negeri Johor.

ASTN 8

Dengan demikian, Tun Salleh Abbas berpendapat bahawa Kerajaan Persekutuan Malaysia tidak mempunyai hak untuk membatalkan keistimewaan hak tersebut tanpa persetujuan Sultan Johor. Pandangan Tun Salleh Abbas disokong oleh Neil Lawson, Q.C. yang menjadi Penasihat Perundangan kepada Raja-Raja Melayu semasa perbincangan menuntut kemerdekaan. Sehubungan itu, rang undang-undang ini tidak diambil tindakan dan terkubur begitu sahaja. Askar Timbalan Setia Johor merupakan suatu lambang terhadap kemegahan dan kedaulatan negeri Johor yang tiada pada negeri-negeri lain di Malaysia. Semoga pasukan ini akan terus megah menjamin kedaulatan Sultan serta menjaga keselamatan negeri.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.