Galeri Terompah Mastor, Tampil Rekaan Gaya Tropika

satu program percuma khas oleh orangjohor.com

Gayanya bersahaja dan sederhana, namun apabila mengenakan topi kulit, penampilannya tampak berubah serta menjadi lebih menarik. Itu adalah pandangan bagi si peminat topi kulit. Bagi mereka pemakaian topi kulit ini mampu mengubah gaya, pandangan dan meningkatkan aura, sekali gus menjadikan si pemakai lebih yakin apabila bertugas ataupun bersantai.

Sama seperti Mastor @ Giman Wakiran, dia akui sering menggayakan topi tanpa mengira tempat sama ada bertugas di tapak projek, bersantai, membeli-belah ataupun bertemu pelanggan. Baginya, topi adalah kemestian untuk mengubah penampilan biasa kepada lebih baik, sekali gus memberi pandangan pertama yang positif kepada sesiapa saja yang memandangnya.

terompah 2

“Saya biasanya membeli topi dari luar negara kerana memang menggemari pemakaian topi sebagai pelengkap penampilan ataupun melindungi kepala daripada selaran cahaya matahari yang terik.

“Disebabkan mempunyai masa yang terhad, saya lebih suka membeli topi secara dalam talian dari luar negara seperti Australia walaupun harga yang ditawarkan agak mahal, kira-kira RM500 hingga RM600 setiap satu mengikut material yang digunakan.

“Namun, pernah juga ada pengalaman terbeli topi yang dibuat daripada kulit khinzir dan tidak langsung digunakan. Ia membuatkan saya berasa agak dukacita dan pengalaman itu mengajar saya untuk sentiasa berhati-hati ketika membeli topi berbanding melihat rekaan yang diminati saja,” katanya ketika ditemui di galerinya di Simpang Renggam.

Kini, apabila banyak masa terluang dia lebih gemar menghasilkan topi sendiri mengikut rekaan disukai berdasarkan pengalaman dan pandangan daripada peminat topi kulit.

Pengasas Mastor Craft & Collection ini menambah, perniagaannya itu bermula dengan hobi hinggalah berjaya menghasilkan rekaan sendiri yang dikenali sebagai Topi Mastor. Kemahiran menjahit dan kraf yang berkaitan dengan kulit atau kayu memberi kelebihan kepada dirinya untuk menghasilkan topi rekaan sendiri. Baginya, pembuatan topi kulit tidak sukar asalkan mempunyai kemahiran.

Dua tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk serius dalam pembuatan topi yang dilakukan secara komersial dengan menggunakan material utama iaitu kulit lembu dan kerbau.

“Rekaan topi yang cuba ditampilkan berkonsepkan gaya tropika. Konsep berkenaan menampilkan dua koleksi berlainan iaitu Style of Johor dan Style of Belanda.

terompah 1

“Dulu, kita kurang yakin dengan material digunakan, apatah lagi jika dibeli dari luar negara. Memang ada topi yang diperbuat daripada kulit burung unta, kanggaru dan sebagainya, tetapi apabila dapat membuat sendiri, ia akan membuatkan saya lebih yakin untuk menggayakannya.

“Pada masa sama, saya memberikan pilihan yang menarik kepada peminat topi kulit untuk menggayakan rekaan kami tanpa rasa was-was di samping berkualiti tinggi,” katanya.

Ujarnya, dia lebih gemar menghasilkan rekaan yang sesuai dengan keadaan iklim di negara ini untuk memberi keselesaan kepada si pemakai tanpa mengira jantina, usia, tujuan dan lokasi. Ilham rekaan adalah mengikut bentuk songkok dan topi untuk mengubah gaya tropika agar ia sesuai dipakai penggemar di negara ini.

Malah, ada juga rekaan yang dihasilkan menerusi inspirasi pemakaian topi Belanda oleh pegawai British satu ketika dulu.

“Penjagaan topi kulit ini juga mudah, cuma elakkan daripada disimpan di dalam kereta agar ia tidak terkena bahang cahaya matahari, sekali gus mengubah tekstur rekaannya.

“Selain itu, boleh juga lembutkan topi kulit menggunakan losen bayi agar ia kekal kemas dan menarik apabila digayakan,” katanya.

Ujarnya yang mengumpul pelbagai jenis topi seperti kanvas dan kulit sejak usia 20-an, sebaiknya simpan koleksi topi kulit dalam keadaan kering agar ia tidak mudah berkulat. Selain topi, Giman turut menghasilkan pelbagai aksesori berasaskan kulit seperti tali leher, tali pinggang serta songkok selain sandal dan terompah dan dijual di butiknya di Taman Jaya, Skudai.

SUMBER Artikel Harian Metro 23 Ogos 2016

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.