Hikayat Puteri Gunung Banang, Lagenda Sehebat Gunung Ledang

satu program percuma khas oleh orangjohor.com

Ramai yang tahu akan kisah Puteri Gunung Ledang yang masyhur menjadi lagenda kepada orang-orang Melayu. Namun ramai diantara kita yang tidak mengetahui akan kisah Puteri Gunung Banang yang merupakan adinda kepada Puteri Gunung Ledang. Untuk pengetahuan para pembaca, Puteri Gunung Ledang mempunyai 7 saudara yang berasal dari Jawa. Tiga daripadanya berada di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Puteri Gunung Banang di Batu Pahat, Puteri Gunung Panti di Kota Tinggi dan Puteri Gunung Beremban yang berada di sempadan Johor-Pahang.

Puteri-puteri bunian ini tidak boleh dilihat oleh manusia biasa, Namun ada sesetengah orang yang menjadi bomoh serta mereka yang sesat di pergunungan tersebut dikatakan ada berjumpa dan bercakap dengan puteri2 tersebut. Dalam artikel kali ini kami akan menyentuh mengenai kisah Hikayat Puteri Gunung Banang, gunung agung di Batu Pahat. Gunung Banang merupakan sebuah gunung yang terkenal di Batu Pahat sejak dahulu kala lagi. Dalam Hikayat Malim Dagang ada dinyatakan bahawa Puteri Pahang meminta agar Sultan Acheh yang menyerang Johor agar tidak memusnahkan Gunung Banang yang dikatakan mempunyai kubur tiga orang wali yang suci. Terdapat juga lagu Gunung Banang dan Walinong Sari yang mengisahkan tentang gunung yang misteri ini.

banang 1

Hikayat Puteri Gunung Banang ini mengisahkan tentang 3 orang beradik lelaki yang sudah tua. Mereka hidup sebagai bujang tua dan tinggal di hujung desa jauh dari orang ramai. Hidup mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pada suatu hari, salah seorang dari mereka iaitu Wira telah membangunkan jin penunggu gua di Gunung Banang yang sedang tidur. Akibatnya, jin telah tersebut menghukum dengan menyuruh memakan muntahnya. Dek kerana ketakutan, Wira terus makan sehingga membuatkan dia pengsan seketika.

Tersedar dari pengsan, Wira telah berjumpa dengan Puteri Gunung Banang. Tuan puteri membawanya masuk kedalam gua dan menyuruh Wira melihat cermin. Alangkah terkejutnya apabila dia mendapati wajahnya sudah menjadi muda kembali. Tuan puteri memberitahu Wira adalah insan terpilih selepas mencabut pokok hikmat (pokok kunyit hitam) dan jika seseorang itu berhati murni maka dianugerahkan kecantikan seperti itu. Wira diperlihatkan dengan nyanyian dan tarian dari alam bunian.

Wira begitu terpesona dan mahu tinggal disitu dengan keindahan kehidupan di alam bunian tetapi tuan puteri melarang manusia untuk tinggal di alamnya. Tuan puteri memberikan wang emas kepada Wira untuk dibawa pulang ke dunia nyata tetapi Wira tidak berkenan untuk menjadi kaya. Tuan puteri menghadiahkan pula semangkuk air hikmat sebagai penawar untuk membantu orang ramai. Wira menerimanya dengan bersyarat dia tidak boleh menganiaya orang ramai dengan air hikmat itu.

banang 2

Beliau kemudiannya pulang semula ke rumah. Abang-abangnya mulai tidak percaya akan kata-kata Wira kerana wajahnya tidak seperti yang dikenalnya dahulu dan dia sudah tidak pulang ke rumah berbulan-bulan lamanya. Orang kampung pula cuba menghalau Wira keluar dari kampung kerana dituduh menggunakan ilmu sihir. Wira menurutkan sahaja dengan hati yang lara dan pergi membawa diri. Setelah keluar beberapa keluar dari kampung halaman, Wira tiba di satu perkampungan dan dia dipertemukan dengan Baiduri, seorang yang mengalami sakit mental.

Dia telah tergerak hati hati untuk membantu Baiduri agar dia pulih semula dengan air hikmatnya. Tok penghulu, juga turut membantu Wira menyembuhkan Baiduri. Dengan kuasa tuhan, Baiduri ditakdirkan sembuh dari penyakit gilanya. Kerana termakan budi, Wira dijodohkan dengan Baiduri diatas restu ayahnya.

Sementara itu, penduduk kampung juga dihebohkan dengan kehebatan Wira mengubati penyakit orang ramai dengan percuma. Dua orang abang sanggup pergi ke kampung seberang untuk bertemu dengan adik bongsunya. Wira melayani abang-abangnya dengan baik sekali. Mereka sungguh terkesima dengan kehidupan mewah Wira yang sekarang ini. Abang sulong dan abang tengah begitu terpesona dengan cerita dari Wira. Abang tengah, Toba mula mempunyai rasa iri hati dengan Wira.

banang 3

Ketika Wira sedang tidur nyenyak, abang-abangnya telah meninggalkan rumah Wira untuk pergi ke Gunung Banang. Keesokkan paginya apabila mereka tiba di Gunong Banang. Mereka telah mencabut banyak pokok di gunung tersebut dan memakannya tetapi tidak berhasil untuk menjadi cantik rupawan. Namun setelah beberapa lama, akhirnya Toba berjaya menjumpai pokok hikmat (kunyit hitam) dan mereka berdua bergelut merebutkan pokok tersebut. Abang sulong akhirnya terkorban jatuh ke dalam gaung.

Toba kemudiannya pergi ke gua di Gunung Banang tersebut. Di dalam gua, Toba telah disapa oleh tuan puteri. Tuan puteri mengesahkan itu bukan pokok kunyit hitam tetapi pokok kunyit biasa. Selepas dimakannya, tiada hasil pada fizikal tubuhnya. Tuan puteri terus mengenakan beberapa syarat kepada Toba, dia perlu berkahwin dengannya, tidak boleh melihat wajahnya selama 100 hari dan tidak boleh menganiaya orang. Tuan puteri memberikan satu pokok kunyit hitam dan menyuruh Toba memakannya.

Selepas memakan pokok kunyit tersebut, Toba menjadi muda dan tampan, mereka berkahwin dan Toba teringin untuk melihat wajah tuan puteri tetapi tuan puteri memberi amaran. Toba tidak perlu tinggal di situ selama 100 hari dia harus pulang ke alam manusia, selepas 100 hari baharulah Toba boleh menemui tuan puteri semula. Toba menjadi tamak dengan wang emas yang diberikan tuan puteri dan meninggalkan alam bunian terus ke dunia yang nyata.

banang 4

Di hari pertunangan Wira dan Baiduri, Toba telah menghadiahkan barangan kemas kepada Baiduri dan Tok penghulu. Tok penghulu sangatlah teruja dengan pemberian dari Toba. Toba mulai mengganggu emosi Wira dengan memuji berlebihan terhadap kecantikan Baiduri. Toba mulai menjadi gila bayang. Dengan hasutan nafsu amarahnya, Toba cuba melanggar janjinya dengan tuan puteri untuk dia berkahwin lagi denga Baiduri. Dengan harta terkumpul di Gunung Banang, dia pergi menyelinap masuk ke bilik simpanan harta namun disergah oleh tuan puteri.

Toba berbohong pada tuan puteri dengan mengatakan ada orang susah yang perlu dibantu dan tuan puteri mendengarkan kata-katanya itu mengizinkannya mengambil harta tersebut untuk dibantu pada orang kampung yang berada dalam kesusahan. Sekembalinya ke kampung, Toba telah memberi rasuah kepada tok penghulu sebagai cenderahati untuk memikat Baiduri dan memutuskan tali pertunangan antara Wira dengan Baiduri.

banang 5

Dek kerana hasutan orang kampung dan ketamakan yang mulai wujud dalam dirinya, tok penghulu akhirnya berubah fikiran. Wira terkejut dan dia tidak berpuas hati dengan tindakan tok penghulu memutuskan tali pertunangannya dan menyambung pertunangan itu dengan abangnya, Toba. Wira ingin membunuh abangnya tetapi mereka telah diseru amaran dari tuan puteri. Wira terpaksa merelakannya dengan hati yang tidak redha antara pertunangan abangnya Toba bersama Baiduri. Ketika mereka disandingkan bersama, alangkah terkejut para hadirin apabila Baiduri bersanding bersebelahan dengan Toba yang sudah tua.

Toba telah disumpah dan segala harta kekayaannya bertukar menjadi daun kering. Tok penghulu tidak sedar yang Baiduri telah dilarikan oleh Toba. Ketika Toba bersusah payah mencari kasut hikmatnya, Wira telah mengambilnya terlebih dahulu. Wira telah menerbangkan kasut hikmat tersebut pulang ke Gunung Banang. Toba pula melarikan diri ke gunung tersebut untuk meminta pertolongan dari tuan puteri. Namun pada akhirnya, Tuan puteri telah menyumpahnya dengan menjadi kaku sebelum dia disumpah menjadi seekor monyet. Tuan puteri telah memberikan pengajaran kepada orang kampung agar jauhi sifat tamak dan tidak menganiaya sesama manusia.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.