Kenali Dato’ Jaafar, Menteri Besar Johor Yang Pertama

Negeri Johor Darul Takzim penuh dengan individu-individu hebat yang sentiasa berkorban jiwa dan raga bagi membangun dan mempertahankan kedaulatan negeri tercinta ini. Insan-insan terdahulu berjuang dengan penuh lelah dan hasilnya kini kita dapat hidup dalam aman dan mewah. Dalam artikel kali ini, Orang Johor ingin berkongsi kisah hidup mengenai Menteri Besar Johor Yang Pertama iaitu Dato’ Jaafar Bin Haji Muhammad supaya nama-nama besar seperti beliau tidak dilupakan dalam lipatan sejarah negeri ini.

mb 1
Dato’ Jaafar bin Haji Muhammad (1838- 3 Julai 1919) merupakan Menteri Besar Johor yang pertama. Sultan Abu Bakar ibni Daeng Ibrahim telah melantik beliau menjadi Menteri Besar pada tahun 1882. Beliau dilahirkan dalam tahun 1838 di Teluk Belanga, Singapura dan telah mendapat pendidikan Melayu dan Inggeris. Dato’ Jaafar berada dari keturunan Bendahara Tepok Tun Hamzah iaitu bendahara kerajaan Melaka yang terakhir sebelum ia jatuh ke tangan Portugis pada 1511. Keturunan beliau terus menjadi Bendahara Paduka Raja Johor dalam pemerintahan Kesultanan Johor.

Anaknya Dato’ Abdullah Bin Jaafar juga menjadi Menteri Besar Johor ke-3(September 1923-1928). Disewaktu menjadi Menteri Besar, Dato Abdullah mempunya pendapat yang berbeza dengan Sultan lalu beliau mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari jawatan Menteri Besar dan tinggal di Singapura. Selepas itu Dato’ Mustapha Bin Jaafar menjadi Menteri Besar Johor dari 16 September 1928 – 23 November 1931. Mustapha adalah anak Jaafar dengan isteri pertamanya Esah bte Ibrahim.

mb 2

Sepupunya Dato Abdul Hamid Yusof, anak kepada abang Dato’ Jaafar Bin Haji Muhammad menjadi Menteri Besar Johor ke-5. Menteri Besar Johor ke-6 ialah Ungku Abdul Aziz Bin Ungku Abdul Majid anak Dato’ Jaafar dengan isteri beliau yang berasal dari Turki iaitu Rogayah Hanim. Rogayah Hanim adalah janda Ungku Majid, adinda Sultan Abu Bakar. Anak Dato Jaafar iaitu Dato Onn Jaafar merupakan Menteri Besar Johor ke-7 (1 Jun 1947 – 18 Mei 1950). Onn Jaafar juga menjadi pengasas UMNO dan hampir menjadi Perdana Menteri Malaysia jika tidak kerana isu kerakyatan jus soli. Anak perempuannya Dara bt Jaafar menjadi isteri ketiga Sultan Ibrahim. Cucunya Azah Aziz merupakan anak kepada Azizah Jaafar dan merupakan isteri kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz.

Dato’ Jaafar mula berkhidmat dengan kerajaan negeri Johor ketika berumur 16 tahun sebagai Pelatih Kerani di Pejabat Menteri kepada Temenggung Ibrahim. Dalam tahun 1856 beliau telah dilantik sebagai Kerani Besar di Pejabat Menteri, dan kemudiannya beliau terus memangku jawatan Dato’ Menteri sehingga tahun 1882, dan kemudian beliau terus dilantik sebagai Menteri Besar Johor oleh (Maharaja) Sultan Abu Bakar.

mb 3

Perlantikan Datuk Jaafar bin haji Muhammad sebagai Menteri Besar merupakan peristiwa yang bersejarah bagi negeri Johor, kerana buat julung-julung kalinya seorang Menteri Besar dilantik dalam pentadbiran kerajaan Johor Moden. Beliau merupakan pengiring kepada Maharaja Abu Bakar dalam lawatan baginda ke Eropah pada tahun 1876. Ketika memegang tugas sebagai Menteri Besar, beliau pernah memangku tugas Sultan Johor bagi menjalankan pentadbiran negeri ketika baginda keluar negeri. Pada tahun 1904 beliau telah dilantik oleh Sultan sebagai Pemangku Raja.

Tugasnya beliau yang terpenting ialah memimpin negeri serta menjalankan pentadbiran negeri. Beliau merupakan seorang yang berani dan bersemangat waja dalam menjalankan tugasnya. Dato Jaafar sangat mementingkan pelajaran terutama pendidikan Barat, agama Islam dan kebudayaan Melayu terhadap anak bangsa Johor. Beliau menetap di istana Bukit Senyum yang terletak berhadapan dengan Selat Johor/Selat Tebrau. Anak-anaknya dimestikan membaca hikayat, syair, sastera dan puisi Inggeris disamping mengaji al Quran, makanan dan berpakaian Melayu.

mb 4

Sejak 1901, rumah tersebut mempunyai tutor iaitu seorang perempuan Inggeris dari Singapura yang bergelar Nanny. Guru tersebut dijemput dengan kuda dari Woodlands dan menyeberang Selat Johor dengan feri serta menaiki beca ke Bukit Senyum. Seorang mualim/guru buta bernama Sheikh Salimi pula dijemput mengajar agama Islam. Kemudian Cikgu Sharifah Enson dari Johor Bahru mengajar tulisan Jawi dan membaca al Quran.

Anak-anaknya diajar alat muzik seperti violin, gambus, tabla serta maruas iaitu sejenis gendang kecil. Mereka membentuk kumpulan Ghazal dan membuat persembahan di sekitar Johor Bahru. Seorang tukang masak dari Turki memperkenalkan masakan Timur Tengah seperti ‘harisa’. Tukang masak India, Thambi Shah memperkenalkan nasi beriyani kepada rakyat Johor.

mb 5

Semasa beliau menjadi Menteri Besar dari tahun 1882 hingga 1919, semua pegawai British yang berkhidmat di Johor diwajibkan memakai pakaian rasmi kerajaan Johor. Bendera Union Jack, iaitu bendera kerajaan British, haruslah dikibarkan lebih rendah daripada bendera negeri Johor. Di samping itu, semua surat-menyurat mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu.

Pada 1904, Jaafar diarahkan oleh Sultan Johor menjadi Pemangku raja dan meraikan Putera Arthur (of Connaught) ke Tanah Melayu. Pada 1889, Duke Sutherland mengadap Sultan Johor dan perbualan itu dirakamkan oleh Florence Caddy. Pegawai British di Negeri Selat berpejabat di Singapura menganggap Datuk Jaafar sebagai seorang yang tegas dan ‘straight forward man’. Dato Jaafar bersama Datuk Sri Amar Diraja menentang cita-cita British menakluk negeri Johor sehingga terjadi sedikit keretakan hubungan dengan Sultan. Sebenarnya Sultan Johor mahu menerima seorang penasihat atau General Adviser pada 1910 kerana kalau Setiausaha Negeri jatuh sakit, tiada siapa lagi akan menasihati baginda.

mb 6

Gabenor Negeri-Negeri Selat telah beberapa kali cuba membawa Johor berada di bawah kawalan British sebagaimana Singapura. Mereka tidak menemui sebarang bukti pemerintahan buruk serta tidak terdapat konflik atau persengketaan untuk mewajarkan campur tangan dapat dilakukan keatas negeri Johor. Pada 1885, Gabenor Negeri-Negeri Selat, Cecil Smith telah memantau penjara, kerja-kerja awam, dan jabatan-jabatan kaji selidik di Johor.

mb 7

Beliau melaporkan kepada Pejabat Tanah Jajahan bahawa terdapat “organisasi baik”, “kemajuan yang memuaskan”, dan kerja-kerja “mengagumkan dilakukan” oleh pegawai-pegawai dan kerani Melayu. Dalam erti kata lain, tidak ada bukti salah tadbir untuk mewajarkan perlantikan Residen British. Faktor utama ialah pentadbir Johor tidak buta huruf. Mereka mendapat pendidikan Melayu atau pendidikan Barat dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Datuk Jaafar Mohamad juga berjaya menyelesaikan pergaduhan di Pahang dan Klang dan atas jasanya itu beliau juga dikurniakan Darjah Ketiga Bintang St. Michael dan St. George oleh Queen Victoria of England. Bagi mengenang jasa dan bakti beliau kepada kemajuan negeri Johor, baginda Sultan telah menganugerahkan Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) kepada beliau.

mb 8

Beliau meninggal dunia pada tahun 3 Julai 1919 di rumahnya di Bukit Senyum dan telah dikebumikan dengan penuh istiadat di Makam Mahmoodiah, Johor Bahru, Johor. Sebuah sekolah iaitu “Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Jaafar” telah ditubuhkan di sebelah Istana Bukit Senyum iaitu kediaman Dato Jaafar sempena jasa dan sumbangan beliau kepada Johor.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.