Kisah Misteri Dan Mistik Berkenaan Batu Putih, Batu Pahat

Longgokan batu putih yang semakin membesar di sebuah kebun sawit di Parit Sulong di sini, menimbulkan misteri, apatah lagi apabila ia dikaitkan dengan pelbagai kisah pelik.

Kisahnya dikatakan bermula daripada seketul batu putih kecil di pinggir jalan yang seakan hidup dan membesar dengan ada antaranya sudah melebihi dua meter serta menjalar ke tengah kebun.

Lantaran kisah misterinya sudah diangkat sebagai satu warisan, kampung itu turut dinamakan sebagai Kampung Batu Puteh dan menjadi antara lokasi yang dipelihara kerana turut menjadi sasaran kaki nombor ekor untuk tujuan pemujaan.

putih 1

Berita mengenai kemunculan batu itu hingga kini gagal dirungkai dengan fakta kukuh, malah kajian saintifik dijalankan agensi tertentu termasuk universiti belum memberi sebarang kesimpulan.

Masyarakat di kampung itu mengaitkan kemunculan batu putih berkenaan dengan pelbagai kisah pelik dan misteri seperti dilalui sendiri nenek moyang mereka.

Menurut penduduk kampung, 100 tahun dulu, hanya kelihatan tiga atau empat ketul batu besar, namun kini keluasan kawasan itu dianggarkan sudah sebesar setengah hektar.

Lokasi batu putih itu dan sekitarnya pada 150 tahun lalu adalah kawasan belukar dan hutan yang diteroka untuk dijadikan penempatan, namun ada pula penduduk mendakwa di situ adalah lautan berikutan penemuan kelengkapan kapal.

Bekas ketua kampung itu, Allahyarham Sulaiman Onn dalam catatannya, menceritakan bahawa Kampung Batu Puteh diteroka beberapa orang yang datang dari Jawa Tengah, Indonesia, diketuai Haji Sanawi pada tahun 1876.

putih 2

Allahyarham Sulaiman juga mengaitkan kemunculan batu putih itu dengan beberapa kisah misteri. Antaranya, pada satu malam Isnin tahun 1905, seorang penduduk dikenali Wak Naim ternampak kawasan batu putih itu terbakar.

Namun, anehnya ketika itu, hanya Wak Naim yang dapat melihat kejadian berkenaan dan tidak dilihat penduduk lain yang ketika sama berada di masjid untuk menjalankan program Maulud.

Pada tahun 1924, berlaku satu lagi peristiwa aneh iaitu kejadian angin puting beliung dari kawasan batu putih menuju bangunan masjid yang berkedudukan kira-kira 50 meter dari kawasan batu itu.

Namun, apabila ditinjau selepas itu, kawasan berkenaan dan sekitarnya seakan-akan tidak menunjukkan seolah-olah ia dilanda puting beliung.

Satu lagi kisah pelik berlaku pada tahun 1958. Seorang penduduk yang baru pulang dari kebun berhenti di kawasan batu putih untuk menghilangkan penat sekitar jam 11 pagi sebelum ternampak beberapa pandangan aneh.

Dari pandangannya, kawasan batu putih itu dilihat seperti bandar. Ada kereta, lori, bas dan motosikal serta ada orang sedang menyidai kain.

Bagi penduduk asal kampung itu, Rahmat Mohsin, 75, sejak cerita misteri ini timbul, banyak pihak hadir ke kawasan berkenaan untuk melakukan aktiviti khurafat, termasuk pemujaan.

putih 3

“Ada datang sebab nak tilik nombor ekor, nak minta hajat seperti duit dan kekayaan,” katanya yang kini diamanahkan untuk menjaga kawasan berkenaan.

Beliau berkata, ada yang cuba mencuri serpihan batu berkenaan untuk dibawa pulang, namun tidak bertahan lama dan memulangkan kembali selepas mendakwa berasa kepanasan dan tidak tenteram.

Katanya, berdasarkan cerita diterima nenek moyangnya juga, kawasan batu putih dan sekitarnya dipercayai lautan yang kini dikatakan sudah menjadi daratan.

Cerita itu, katanya, disahkan hasil penemuan beberapa barang seperti sauh dan stereng dipercayai milik kapal laut yang karam ketika pembinaan masjid yang berdekatan kawasan itu kira-kira 50 tahun lalu.

Rahmat turut mempercayai kawasan itu mungkin dihuni makhluk lain iaitu bunian berdasarkan cerita aneh yang didengar termasuk dari golongan agama.

Sumber BH Online 8 April 2015

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.