Kota Tinggi Banyak Menyimpan Sejarah Johor Lama

Jika anda berniat untuk berkunjung ke Kota Tinggi atau secara kebetulan melalui daerah ini, apa kata anda singgah sekejap di Muzium Kota Tinggi untuk melihat pelbagai koleksi bahan bersejarah berkaitan Kesultanan Johor dari dulu sehingga sekarang.

dssgft

Muzium yang terletak di bandar Kota Tinggi ini mempamerkan peristiwa-peristiwa mengikut kronologi iaitu sejarah Kesultanan Johor Lama, Institusi Politik dan sosio-ekonomi daerah Kota Tinggi meliputi zaman kegemilangan Johor Lama sehingga kini

Sebaik sahaja anda melangkah ke dalam muzium ini, anda akan dihidangkan oleh suasana di dalam istana yang menggambarkan Sultan Alauddin Riayat Shah sedang menghadap Estavo Da Gamma pada 1536 untuk menandatangani perjanjian perdamaian.

dssgft

Selain itu, dalam muzium ini turut mempamerkan gambaran kehidupan masyarakat Johor dari dulu sehingga kini sekaligus dapat mengimbau nastolgia dulu-dulu melalui peralatan lama yang digunakan untuk memasak seperti periuk tanah, kendi air, lesung batu, batu giling dan juga dapur kayu yang mana pada hari ini sudah digantikan dengan barangan elektrik.

Untuk Makluman pembaca-pembaca setia orangjohor.com, Muzium Kota Tinggi ini dibina kerana terdapat banyak tempat dan nilai sejarah di sini. Di sepanjang lembah Sungai Johor terdapat banyak bekas tapak pemerintahan kerajaan Johor Lama seperti Kota Johor Lama, Makam Laksamana Bentan, Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Kampung Panchor, Sayong Pinang, Makam Kucing Bertanduk, Makam Kota Tauhid, Kubu Budak, Bukit Seluyut, Makam Bendahara Tun Habab, Makam Cik Siti dan Pasir Putih.

dssgft

Untuk pengetahuan para pembaca orangjohor.com, antara kisah yang paling menarik di Kota Tinggi adalah Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang terlokasi di Kampung Makam, Kota Tinggi. Lagenda Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ada tercatat dalam buku Tuhfat al-Nafis. Menurut ceritanya, Sultan Mahmud Shah telah mengarahkan Laksamana Bentan untuk menghapuskan lanun yang menyerang pantai selatan Johor.

dssgft

Laksamana Bentan meninggalkan isterinya, Dang Anum yang pada ketika itu sedang sarat mengandungkan anak sulungnya. Dang Anum sangat mengidam makan nangka lalu tanpa memikirkan akibatnya telah mengambil seulas nangka yang hendak dipersembahkan kepada sultan. Hal ini telah mengakiatkan kemurkaan sultan lalu memerintahkan supaya Dang Anum dihukum bunuh dengan dibelah perutnya.

Apabila Laksamana Bentan pulang dan mengetahui bahawa isteri serta anaknya mati dibunuh, Laksamana merasa teramat marah lalu menyerang sultan yang pada ketika itu dijulang oleh panglima untuk bersembahyang Jumaat. Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, sultan sempat melafazkan sumpah bahawa mana-mana keturunan Bentan yang menjejakkan kaki ke Kota Tinggi akan muntah darah sehingga mati.

Makam Kucing Bertanduk tidak kurang menariknya, iaitu mengenai kucing peliharaan Sultan Mahmud Shah II. Kucing ini dikatakan mempunyai tanda di atas kepalanya yang menyerupai sepasang tanduk. Ada sumber mengatakan bahawa kucing ini diberi nama sebagai ‘Si Comel’ suka berjalan meniti dari bumbung ke bumbung rumh penduduk setempat dan gemar memakan sayur.

Lebih istimewa lagi, kucing ini dikatakan mempunyai kemampuan untuk mengesang musuh yang ingin menyerang Kota Tinggi. Walau bagaimanapun, kucing kesayangan baginda ini telah mati kira-kira seminggu sebelum kemangkatan baginda.

Satu lagi makam yang menarik untuk diceritakan ialah Makam Cik Siti Aminah yang terletak di Kampung Temboih di pinggir sungai kota Tinggi juga dikenali sebagai Makam Cik Siti Aminah Tanah Mahsyur atau Cik Siti Jalang.
Cik Siti Aminah adalah seorang wanita yang cantik lagi kaya. Kononnya dia digelar jalang kerana berkahwin sebanyak 99 kali. Peliknya semua suaminya mati sehinggalah dia berkahwin kali ke 100 barulah dapat hidup bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat.

dssgft

Kira-kira 27 kilometer dari bandar Kota Tinggi, letaknya Kota Johor Lama. Sejarahnya bermula pada 1540 apabila Sultan Alauddin Riayat Shah II (Raja Johor kedua) berpindah ke Tanjung Batu yang terletak di tepi Sungai Johor.
Baginda mendirikan sebuah kota yang dibina daripada susunan batu kemudian ditambah tanah yang sekarang dikenali Kota Johor Lama. Dengan terbinanya kota ini Kerajaan Johor menjadi sebuah negeri yang kuat hingga dapat mematahkan serangan Acheh beberapa kali.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.