Pantai Stulang Laut, Pantai Indah Yang Menenangkan

Tidak sukar untuk mencari tempat-tempat perlancongan ataupun destinasi damai di Johor Bahru. Pada zaman kini segalanya berada di hujung jari, dan malu bertanya tidak lagi membuatkan anda sesat jalan. Namun ianya tidak bermakna anda perlu menyombong diri dan tidak bertegur sapa dengan sesiapa yang anda jumpa ya. Dalam artikel kali ini, Orang Johor akan berkongsi sebuah pantai peranginan terkenal buat Bangsa Johor iaitu Pantai Stulang Laut. Jom teruskan membaca.

Pantai Stulang Laut yang terletak di Bandaraya Johor Bahru dan berhadapan dengan pulau Republik Singapura ini sentiasa ramai dikunjungi terutamanya pada waktu sebelah petang dan di hujung-hujung minggu mahupun cuti hari kelepasan am. Tempat yang menarik di Johor Bahru ini terletak berhampiran dengan Kompleks Imigresen dan Kastam Johor Bahru yang lama setelah kompleks baru yang lebih canggih dan besar didirikan berhampiran Bukit Cagar.

stulang 1

Sejarah Pantai Stulang ini pada asalnya merupakan sebuah perlabuhan nelayan kecil yang telah wujud semenjak zaman Kerajaan Temasek (Singapura Purba). Seiring dengan berjalannya waktu, perkampungan nelayan ini semakin lama ditelan arus kemodenan Bandaraya Johor Bahru dan kini hanya tinggal kenangan sahaja. Kawasan pantai ini juga terletak berhampiran dengan penginapan hotel-hotel terkenal Johor Bahru seperti Grand Blue Wave Hotel, Suria City Hotel dan juga Zone Regency Hotel.

Seperkara yang menarik mengenai Zone ini ialah ianya juga terletak di dalam satu kompleks bangunan Pusat Membeli-Belah Zone Bebas Cukai Johor Bahru. Buat anda yang sememangnya merancang untuk membeli belah coklat dan apa sahaja barangan bebas cukai, jangan lepaskan peluang untuk kesini. Ia juga mengandungi Kompleks Imigresen Kastam Dan Jeti Laut (CIQ) ke Singapura, Batam-Tanjung Pinang-Indonesia dan lain-lain destinasi luar negara mengikut jalan laut.

stulang 2

Selain daripada itu, Pantai Stulang juga merupakan destinasi menarik di Johor Bahru untuk dikunjungi kerana ianya berdekatan dengan Medan Selera Stulang yang terletak bersebelahan dengan Zone Bebas Cukai, Stulang. Pada waktu malam anda boleh bersiar-siar di sepanjang Pantai Stulang yang terletak juga selari dengan Jalan Stulang Laut . Kalau hendak menikmati pemandangan malam di Stulang datanglah ke sini, lebih baik lagi jika anda ambil peluang untuk makan-makan dahulu di Medan Selera Stulang sebelum bersiar-siar di waktu malam yang ruang pejalan kakinya juga disinari lampu-lampu. Dari sini anda juga boleh memerhatikan cahaya-cahaya lampu bandaraya kota Singapura di seberang selat sana.

Satu lagi perkara yang menjadikan Stulang Laut ini merupakan tempat menarik di Johor Bahru untuk dikunjungi ialah pada bulan-bulan tertentu terdapatnya acara-acara temasya air atau event peringkat tempatan, kebangsaan atau antarabangsa yang dianjurkan di sini. kat sini pernah diadakan pertandingan International Speed Boat, water scooter, pertandingan memancing ,sukaneka air dan lain-lain lagi. Kalau nak tahu lanjut lagi fasal event atau temasya air kat Stulang laut ni bolehlah ke website Majlis Bandaraya Johor Bahru atau ke Johor Tourism.

stulang 3

Buat anda yang ingin mencari makan tengahari dengan harga yang berpatutan, jangan lupa singgah ke Warung Batu yang menyediakan masakan Nasi Padang ,Asam Pedas dan sayur-sayur ulam-ulaman kampung segar yang diletakkan dalam penyejuk air batu agar kekal segar. Lokasinya berhampiran persimpangan 4 lampu isyarat bersebelahan Imigresen Kastam lama dan juga berhampiran Suria City Hotel.

Pantai Stulang Laut juga memiliki jeti persendirian milik keluarga DiRaja Sultan Johor. Di sini anda akan dapat melihat bot-bot layar milik kerabat DiRaja Johor dilabuhkan di sini. Lokasinya di tepi pantai berhadapan dengan Foon Yew High School. Jom kita berjalan-jalan ke Pantai Stulang Laut.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.