Pertempuran Laut Endau, Usaha Terakhir ‘Royal Navy’ Mengekang Kemaraan Jepun

Pertempuran Endau merupakan pertempuran yang terjadi di perairan berhampiran dengan Endau yang berlansung pada 26 hingga 27 Januari 1942. Merupakan sebahagian daripada Pertempuran Malaya, ianya peperangan laut pertama semenjak tenggelamnya kapal HMS Prince of Wales dan HMS Repulse pada 10 Disember 1941 di perairan Kuantan, dan ianya juga merupakan usaha terakhir oleh Royal Navy untuk memintas konvoi kapal pengangkut Jepun di sepanjang perairan timur Semenanjung Tanah Melayu.

hms 1

HMS Prince of Wales dan HMS Repulse tenggelam

Penenggelaman kapal HMS Prince of Wales dan HMS Repulse pada awal pertempuran Kempen Malaya menyebabkan tugas untuk memintas konvoi tentera Jepun di Teluk Siam dserahkan kepada kapal selam Tentera Laut Diraja Belanda kerana kapal permukaan digunakan untuk mengiringi konvoi kapal tentera bersekutu yang bergerak dari Ceylon (Sri Lanka) dan Hindia Timur Belanda (Indonesia).

Tentera Laut Belanda merekodkan kejayaan pertama mereka apabila kapal pengangkut tentera Awazisan Maru berjaya ditenggelamkan berhampiran pantai Kota Bharu pada 12 Disember 1941 oleh kapal selam HNLMS K XII.Pada 24 Disember, HNLMS K XVI berjaya menenggelamkan kapal pemusnah Sagiri berhampiran pantai Kuching, Sarawak. Beberapa kapal lain juga berjaya dimusnahkan atau mengalami kerosakan besar pada minggu-minggu awal operasi, namun kapal selam Belanda juga mengalami korban yang tinggi dan mereka akhirnya tidak mampu menghalang kemaraan tentera Jepun melalui jalan laut.

Pendaratan amfibia di Mersing pada asalnya dirancang oleh tentera Jepun untuk memutuskan perhubungan diantara tentera British dengan Singapura. Namun Pasukan Selatan Ekspidisi Tentera Jepun memutuskan untuk mendaratkan keseluruhan Divisyen ke-18 di Singora kerana percaya pertahanan tentera bersekutu di Mersing terlalu kuat. Walaupun tentera darat Jepun berjaya menakluki Endau pada 21 Januari, mereka kekurangan kekuatan untuk menempuh pertahanan tentera Australia di Sungai Mersing.

Pada 20 Januari 1942, sebuah konvoi yang mengandungi sebelas kapal pengangkut tentera berlepas dari Teluk Cam Ranh, Indochina, untuk mendaratkan tentera di Singora yang mana dua daripada kapal tersebut kemudiannya menuju ke Endau. Dua kapal pengangkut tersebut, Kansai Maru dan Canberra Maru, membawa pasukan daripada Batalion Lapangan Terbang ke-96 yang ditugaskan untuk menjalankan operasi di Lapangan Terbang Kahang dan Kluang.

hms 2

Kapal Pemusnah Kelas Fubuki Tentera Laut Empayar Jepun

Kapal pegangkut ini diiringi oleh Unit Pengiring Pertama yang disertai kapal cruiser ringan Sendai, kapal utama Laksamana Muda Shintarō Hashimoto, dan enam kapal pemusnah kelas Fubuki iaitu, Fubuki, Hatsuyuki, Shirayuki, Asagiri, Amagiri, dan Yūgiri. Skuadron ini juga ditambah dengan lima kapal pemusnah periuk api kelas W-1 dari Divisyen Pertama Kapal Pemusnah Periuk Api, tiga kapal pengejar kapal selam kelas CH-4 daripada Divisyen Ke-11 Kapal Pengejar Kapal Selam dan empat bot peronda.

Tentera British melalui Pejabat Pemerintah Malaya menjangkakan pasukan serangan Jepun akan dikuatkan dengan konvoi kapal laut, dan jangkaan ini terbukti pada 26 Januari apabila dua pesawat Lockheed Hudson milik Tentera Udara Diraja Australia (RAF) mengesan pasukan konvoi tersebut di kedudukan 20 batu (32 km) utara Endau. Walaupun telah mengesan konvoi tentera Jepun pada pukul 7.45 pagi, transmisi radio mereka tersekat dan berita tidak sampai kepada pemerintah tertinggi sehinggalah mereka mendarat di Singapura pada 9.20 pagi.

hms 3

Pesawat Lockheed Hudson

RAF memutuskan untuk menyerang konvoi tersebut dengan menggunakan keseluruhan pesawat tempur yang ada. Serangan tersebut terpaksa ditunda sehingga ke tengah hari, untuk membolehkan kru pesawat pengebom torpedo Vickers Vildebeest dan Fairey Albacore dari Skuadron ke-36 RAF dan Skuadron ke-100 RAF untuk berehat setelah menjalani misi pada malam sebelumnya. Keputusan untuk menggunakan pesawat biplane Vildebeest yang sudah uzur keatas konvoi tentera Jepun diwaktu siang ternyata telah mengejutkan juruterbang, yang merasakan lebih selamat untuk menyerang diwaktu malam.

Serangan udara pertama bermula dengan menggunakan Pesawat Vildebeests daripada Skuadron 26 dan 100 RAF dan Pesawat Hudsons daripada Skuadron Pertama dan 8 RAF. Dua belas pasawat pengebom Vildebeests dan sembilan Hudson berlepas dari Singapura pada awal petang 26 Januari, dengan diiringi pesawat tempur yang terdiri daripada dua belas pesawat Brewster F2A Buffalos dan sembilan Hawker Hurricanes.

fairey_albacore_and_vickers_vildebeest

Pesawat Fairey Albacore dan Vickers Vildebeest

Pendaratan tentera Jepun di Endau telah berlansung selama empat jam sewaktu tibanya pesawat tentera bersekutu pada jam 3 petang. Tentera Laut Jepun mempunyai perlindungan udara yang terdiri daripada 19 pesawat Nakajima Ki-27s daripada Skuadron pertama serta 11 pesawat tempur Nakajima Ki-44 fighter. Meskipun mendapat tentangan hebat, dua kapal pengangkut telah berjaya di bom dan pasukan serta kelengkapan yang berada di pantai telah diserang melalui udara. Lima pesawat Vildebeests telah ditembak jatuh termasuk pegawai pemerintah Skuadron ke-100 dan tentera Jepun telah kehilangan satu pesawat Ki-27.

Gelombang kedua serangan berlepas dari Singapura pada jam 4.15 petang, merangkumi tujuh pesawat Vildebeests dan tiga pesawat Albacores dari Skuadron ke-36 dan dua Vildebeests dari Skuadron ke-100. Mereka tiba di ruang udara Endau pada jam 5.30 petang namun pesawat pengiring yang terdiri daripada tujuh pesawat Hurricanes dan empat pesawat Buffalos tiba lewat menyebabkan pesawat British yang tiba awal tersebut musnah diserang oleh sepuluh pesawat Ki-27s dan dua Ki-44s sebelum sempat pesawat pengiring British sempat tiba di lokasi pertempuran.

hms 4

Pesawat Hurricane milik Tentera Udara Diraja Britain

Lima pesawat Vildebeests, dua Albacores dan satu Hurricane ditembak jatuh dalam gelombang serangan ini. Daripada 72 kru udara daripada Skuadron ke-72 dan 100 yang menyertai serangan udara ini, 27 terbunuh, tujuh cedera dan dua orang menjadi tahanan perang. Juruterbang yang kembali ke Singapura telah disambut oleh Timbalan Marshal Udara Paul Maltby dan beliau telah berjanji bahawa tiada lagi serangan udara pada waktu siang yang akan dilakukan selepas daripada itu.

Serangan udara ketiga pula terdiri daripada enam pesawat Hudson dari Skuadron ke-62 RAF yang tidak diiringi pesawat tempur yang lain telah terbang dari Palembang, Sumatra, dan diserang tidak lama setelah berlepas menyebabkan dua daripadanya telah ditembak jatuh oleh enam pesawat Ki-27s milik tentera Jepun. Serangan udara keempat pula terdiri daripada lima pesawat Bristol Blenheims milik Skuadron ke-27 RAS telah berlepas daripada Palembang sehari kemudian namun hanya berjaya terbang sejauh Singapura pada lewat petang dan menyebabkan misi tersebut dibatalkan. Walaupun mendakwa telah berjaya mengenakan serangan keatas beberapa sasaran melibatkan kapal pengangkut dan pemusnah, tiada mana-mana kapal yang musnah.

hms 5

Her Majesty Australia Ship Vampire

Laksamana Muda Ernest Spooner, komander angkatan laut di Singapura telah mengarahkan satu-satunya pasukan kapal beliau yang telah bersedia untuk bertempur iaitu kapal lama HMS Thanet dan HMAS Vampire, untuk menyerang kapal-kapal Jepun berhampiran Endau pada malam tersebut. Komander William Moran merupakan kapten kapal HMAS Vampire manakala HMS Thanet pula berada dibawah pimpinan Leftenan Komander Bernard Davies. Kapal-kapal pemusnah ini berlepas dari Singapura pada jam 4.30 petang dengan Moran mengetuai kedua-dua kapal ini dan menuju ke utara.

Laporan risikan melaporkan bahawa kekuatan kapal perang Jepun yang mengawal kapal pengangkut terdiri daripada 12 kapal pemusnah, namun laporan ini kemudiannya melaporkan hanya ada dua kapal pemusnah pada jam 10.55 malam berdasarkan laporan yang tidak tepat daripada kru udara Tentera Udara Diraja Britain yang terselamat. Unit Pengiring Pertama tentera Jepun telah bersedia untuk pertempuran permukaan setelah menerima laporan risikan (tidak tepat) yang melaporkan terdapat dua kapal kruiser ringan British berada berhampiran dan Hashimoto kemudian mengarahkan kapalnya untuk memantau sektor utara.

hms 6

Her Majesty Ship Thanet

Moran memimpin kapal-kapalnya melalui Kepulauan Seribuat dan pesisir pantai Johor hanya menggunakan cahaya bulan dan menuju timur laut untuk mencari kawasan utara kepulauan. Bila awan gelap menyeliputi cahaya bulan pada pukul 01:51 pagi, beliau menuju kearah tenggara pada kelajuan 15 knot (28 km/h; 17 mph) menuju ke Endau, sambil membelakangkan Pulau Tioman untuk memastikan kapal-kapal beliau terlihat dari ufuk. Pada jam 02:37, HMAS Vampire terlihat kapal pemusnah Tentera Laut Jepun (kemungkinan Amagiri).

Tiga minit kemudian, mereka berjaya mengesan kapal Jepun yang lain (Kapal Pemusnah Periuk Api W-4) berada dihadapan. Dengan segera Moran mengambil keputusan untuk menyerang setelah mendapati ianya tidak dapat dielakkan disebabkan jarak yang terlalu dekat. Beliau meningkatkan kelajuan kapal kepada 25 knots (46 km/h; 29 mph), dan dengan serentak melancarkan dua daripada tiga torpedo pada jarak 600 meter (660 kaki). Satu torpedo tersasar 14–18 meter dan yang lain melepasi bawah kapal pemusnah periuk api tersebut.

Kapal Pemusnah Periuk Api W-4, yang berada di tengah-tengah zone rondaan tersebut cuba untuk mengenalpasti penyerang apabila Moran memulakan serangan, namun gagal untuk memberi amaran kepada kapal tentera Jepun yang lain akan kehadiran kapal tentera bersekutu selama 20 minit sebelum memberikan lokasi enam batu nautika (11 km; 6.9 mi). Kapal W-4 tidak membalas serangan dan Moran menyambung kembali pencarian kapal pengangkut Jepun dan mengurangkan kelajuan kepada 15 knot untuk mengurangkan gelombang air daripada kapal-kapal beliau. Setengah jam kemudian dengan perairan cetek semakin menghampiri serta tiada kapal pengangkut berjaya dikesan, kapal pemusnah tentera bersekutu mengubah haluan ke utara menuju ke laut dalam dan meningkatkan kelajuan kepada 25 knot pada jam 03:13 pagi sebelum beralih ke tenggara.

Pada jam 03:18 pagi, HMAS Vampire mengesan kapal pemusnah Jepun Shirayuki serta kapal lain. HMAS Vampire dan HMS Thanet kemudiannya mengubah sedikit haluan untuk melepaskan torpedoe pada Shirayuki dalam jarak 1,400 m. Satu torpedo dari HMAS Vampir dan keempat-empat daripada HMS Thanet tersasar daripada mengenai Shirayuki yang pada masa yang sama berjaya mengesan kedudukan kapal-kapal tentera bersekutu. Kapal Shirayuki bergerak menghampiri kapal pemusnah tentera bersekutu dan kemudian memberi signal untuk mengesahkan identiti. Setelah tidak menerima jawapan, kapal tentera Jepun memasang lampu berkuasa tinggi keatas kapal tentera bersekutu dan akhirnya melepaskan tembakan pada jam 03:31 pagi meskipun kedua-dua pihak memasang skrin asap.

Moran mengarahkan kedua-dua kapal beliau membalas tembakan menggunakan meriam empat inci sambil berundur ke tenggara dengan kelajuan penuh. HMS Thanet hanya sempat melepaskan tiga tembakan meriam sebelum terkena tembakan dibahagian enjin. Tembakan tersebut memusnahkan saliran wap utama dan bantuan pada enjin menyebabkan kapal tersebut berhenti dan kehilangan kuasa elektrik.

hms 7

Kapal pemusnah Tentera Laut Jepun Shirayuki

Laporan tentera bersekutu dan Jepun agak bercanggah berkenaan aksi tembakan terutama apabila tiada kapal tentera bersekutu yang merekodkan masa selepas serangan torpedo dilancarkan pada jam 03:18 pagi. Shirayuki menembak 18 peluru meriam kepada HMAS Vampire dalam jarak 4,100 meter sebelum letupan yang berlaku pada laras meriam menyebabkan kerosakan pada litar utama eletrik kapal tersebut sehingga membuatkan kapal tersebut mengalami kegagalan fungsi elektrik.

Sementara servis elektrik diperbaik dalam tempoh dua minit, kapal tersebut mengalami beberapa kegagalan elektrik yang kecil menyebabkan gangguan terhadap serangan yang hendak dijalankan dalam tempoh 15 minit. Apabila kapal Shirayuki menyambung kepada serangan, HMAS Vampire tidak lagi kelihatan dan Shirayuki telah menyasarkan Thanet dalam jarak 3,050 meter dengan menembak 82 peluru meriam kepadanya. Yugiri memulakan serangan pada 03:38 pagi pada Thanet pada jarak 4,100 meter dan kedua-dua kapal tersebut memerhati bahawa sasaran mereka mulai bergerak perlahan pada jam 03:45 pagi.

Pada masa yang sama, kapal Yugiri menyampaikan laporan Hashimoto menyatakan bahawa “musuh terdiri daripada dua kapal pemusnah”. Kapal Sendai, Fubuki, Asagiri, Amagiri, Hatsuyuki dan W-1 kesemuanya memulakan serangan dengan kebanyakkan tertumpu kearah kapal HMS Thanet. Dilaporkan bahawa kesemua kapal tentera Jepun telah melepaskan sebanyak 469 das tembakan kearah kapal-kapal tentera bersekutu, namun tiada satu pun diantaranya yang mengenai HMAS Vampire. Kapal Shirayuki melaporkan bahawa HMS Thanet telah tenggelam pada jam 04:18 pagi dan berjaya menyelamatkan pegawai dan 30 kru. Seorang pegawai dan 11 anak kapal Thanet maut dalam pertempuran tersebut. Kapal-kapal Jepun bagaimanapun tidak mengejar kapal HMAS Vampire yang telah berundur dan Vampire berjaya tiba di Singapura pada jam 10.00 pagi.

Kapal Shirayuki telah menyerahkan anak kapal yang terselamat kepada pasukan yang berada di Endau pada keesokan harinya. Mereka dilaporkan tidak lagi dilihat dan dipercayai telah dibunuh sebagai membalas dendam atas korban yang dialami oleh tentera Jepun dalam serangan hendap yang dilakukan oleh Batalion Ke-2/18 Tentera Australia di selatan Mersing yang berlaku hampir sama waktu dengan pertempuran laut di perairan Endau. Davies, empat pegawai, dan 61 anak kapal HMS Thanet berjaya berenang hingga ke pantai dan berjaya berundur ke Singapura bersama-sama kru udara yang ditembak jatuh.

Tentera Jepun berjaya untuk melengkapkan pendaratan tentera di Endau dan menyebabkan tentera Australia yang bertahan disitu terpaksa berundur. Tentera bersekutu mengalami angka korban yang besar dalam pertempuran ini dan dengan banyak pesawat tentera bersekutu yang musnah menyebabkan mereka tidak lagi dalam membantu pertempuran darat. Moran melaporkan bahawa tentera Jepun tidak kompeten untuk bertempur di waktu malam merupakan keputusan penting pertempuran tersebut.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.