Ringasan Mengenai Sejarah Kesultanan Johor

Sejarah Kesultanan Johor bermula pada tahun 1528. Ianya bermula apabila Sultan Alauddin Riayat Shah dari keturunan kesultanan Melaka telah membuka Johor dan bertapak di Johor Lama. Dinasti tersebut memerintah Johor sehingga tahun 1699 iaitu tarikh kemangkatan Sultan Mahmood. Baginda Sultan Mahmood tidak menpunyai waris yang sah maka oleh demikian pengurusan dan pentadbiran Johor telah berpindah kepada Dinasti Bendahara.

Sekitar tahun 1769, Sultan Mahmood III diangkat sebagai Sultan Johor Riau. Temenggong Abdul Hamid telah dilantik sebagai Temenggong Johor. Pihak Inggeris telah mengiktiraf Temenggong Abdul Rahman Ibni Temenggong Abdul Hamid sebagai Temenggong Singapura. Bermula dari pelantikan ini, Dinasti Temenggong memerintah Johor.

Temenggong Daeng Ibrahim menggantikan ayahanda Baginda Temenggong Abdul Rahman yang telah mangkat pada 8 Disember 1825 sebagai Temenggong Johor. Dengan ini bermulalah Kesultanan Johor moden dibawah pemerintahan Dinasti Temenggong. Hasrat British yang ingin menjadikan Johor sebagai kawasan pedalaman yang banyak membantu pertumbuhan Singapura sebagai pusat perdagangan antarabangsa, telah membolehkan Temenggong Ibrahim menjadikan Johor sebagai pusat pengeluaran lada hitam dan gambir melalui Sistem Kangchu Cina dan Sistem Buruh Kontrak Jawa.

dssgft

Tahun 1855 merupakan titik permulaan pemodenan Johor, Temenggong Ibrahim membuka Tanjung Puteri(Johor Bahru) sebagai Pusat Pemerintahan Johor dengan mendirikan balai polis, mahkamah dan jabatan-jabatan lain secara berperingkat. Usaha untuk memajukan Johor bermula dengan mewujudkan keamanan dengan menghapuskan kegiatan pelanunan dan memajukan pelajaran anak-anak Melayu.

Temenggong Daeng Ibrahim mangkat pada 31 Januari 1862 dan dimakamkan di Makam Temenggong di Teluk Belanga, Singapura.

Sultan Abu Bakar diputerakan pada 3 Februari 1833 apabila Temenggong Daeng Ibrahim mangkat pada 1862, Abu Bakar dilantik sebagai Dato’ Temenggong Sri Maharaja Johor, dan pada tahun 1868 dipendekkan kepada gelaran Maharaja sesuai dengan taraf Baginda dikalangan antarabangsa. Baginda berjaya mengukuhkan kedaulatan dan ketuanan Johor apabila secara rasmi Kesang diletakkan di bawah pemerintahan Baginda pada tahun 1877.

dssgft

Melalui Perjanjian Setia 1885, Maharaja Abu Bakar dan waris-waris Baginda yang menyusuli diiktiraf oleh Inggeris memakai gelaran Sultan Johor. Berikutan Perjanjian Setia, Baginda menubuhkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. Terdahulu dari itu pada tahun 1866, Baginda menukarkan nama bandar Tanjung Puteri kepada Johor Bahru.

Pada 14 April 1895, Sultan Abu Bakar memasyhurkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang merupakan Negeri Melayu pertama mengadakan undang-undang itu. Perladangan lada hitam dan gambir dimajukan dengan membawa masuk peladang Cina dan buruh Jawa. Pada tahun 1883 Jabatan Pelajaran ditubuhkan untuk memajukan pelajaran anak-anak Melayu Johor.

Baginda telah dimahkotakan pada tahun 1886 dengan memakai mahkota yang Baginda sendiri ilhamkan. Dalam istiadat itu Baginda menzahirkan Darjah Kerabat dan Darjah Mahkota Johor. Mahkota dan darjah kebesaran itu menjadikan Johor negeri pertama berbuat demikian.

Sultan Ibrahim diputerakan pada 17 September 1873 bersamaan 25 Rejab 1290 di Istana Bidadari Singapura. Sejak kecil Baginda telah diberi penuh asuhan dan pimpinan sebagai bakal raja. Pada tahun 1908 ketika pemerintahan Baginda, jalan kereta api merentasi Negeri Johor dapat disiapkan, sementara Tambak Johor yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura, telah siap dibina pada tahun 1924.

dssgft

Baginda Sultan Ibrahim sangat mengambil berat hal pendidikan dengan menitahkan pelajaran wajib kepada semua kanak-kanak melalui Enakmen Pelajaran Wajib 1902. Baginda Sultan juga sangat mengambil berat terhadap perkembangan Bahasa Melayu. Baginda telah berkenan menjadi penaung kepada Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku DiRaja (P.B.M.P.B Di-Raja) Johor.

Pendidikan Agama Islam dimajukan dengan membina sekolah agama dan masjid. Pada 2 Februari 1900, Masjid Abu Bakar dirasmikan pembukaannya. Lagu ‘Bangsa Johor’ dijadikan lagu rasmi negeri yang dinyanyikan dalam majlis rasmi dan di sekolah. Baginda mangkat di London pada hari Jumaat, 8 Mei 1959 dan dimakamkan di Makam DiRaja Mahmoodiah Johor Bahru.

Sultan Ismail Ibni Almarhum Sultan Ibrahim diputerakan pada 28 Oktober 1894 di Istana Semayam, Johor Bahru. Pada 7 September 1895, Baginda dilantik menjadi Tunku Mahkota Johor, dan dimasyhurkan perlantikannya sebagai Sultan Johor apabila Paduka Ayahandanya mangkat di London pada 8 Mei 1959. Baginda telah dimahkotakan pada 10 Februari 1960.

dssgft

Semasa pemerintahan Baginda Sultan Ismail, Negeri Johor menjadi maju dan makmur. Sebelum ditabalkan menjadi sultan, Baginda telah beberapa kali dilantik menjadi Pemangku Raja dan berupaya melaksanakan pemerintahan dan tugas penting . Baginda telah merasmikan Kongres Melayu pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor Bahru yang membawa kepada penubuhan UMNO.

Ketika menjadi Sultan, Baginda sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan Negeri Johor. Baginda mangkat pada 10 Mei 1981 bersamaan 6 Rejab 1401 H dan dimakamkan di Makam Diraja Mahmoodiah Johor Bahru.

Sultan Iskandar diputerakan pada 8 April 1932 di Istana Semayam, Johor Bahru. Sultan Iskandar dimasyhurkan menjadi Sultan Johor pada 11 Mei 1981. Pada 12 Disember 1981, Baginda dilantik sebagai Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor. Pada 9 Februari 1984 hingga 1989, Baginda dilantik menjadi Yang Di-Pertuan Agong Malaysia kelapan.

dssgft

Baginda mangkat pada 22 Januari 2010 dan dimakamkan pada 23 Januari 2010 di Makam DiRaja Mahmoodiah, Johor Bahru.

Tunku Ibrahim dilantik sebagai waris apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar menaiki takhta Kerajaan Johor dan dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981. Mulai 25 April 1984 hingga 25 April 1989 Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang DiPertuan Agong. Tuanku memanfaatkan tempoh sebagai Pemangku Raja untuk menimba ilmu pengetahuan berkaitan urusan negeri serta berdamping dengan rakyat.

Tunku Mahkota Tunku Ibrahim dimasyurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar.
Tuanku mendirikan rumah tangga dengan Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri.

dssgft

Semangat juang dan kecenderungan aktiviti laut yang diwarisi dari keturunan Temenggong menjadikan Duli Yang Maha Mulia Tuanku amat gemar dengan sukan lasak. Semasa berusia lima tahun Tuanku memandu bot laju dalam satu pertandingan bot. Tuanku berkebolehan dan bertauliah memandu kapal laut, kapalterbang jet dan helikopter dan merupakan Raja Melayu yang pertama yang mempunyai lesen memandu keretapi.

Tuanku cekap menunggang kuda dan bermain sukan polo. Tuanku merupakan Raja Melayu yang menjelajah setiap pelusuk negeri pada setiap tahun untuk merapatkan diri dengan rakyat melalui Kembara Mahkota semenjak tahun 2001.

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.