Sejarah Bermulanya Jawatan Dan Peranan Dato Menteri Besar Johor

Negeri Johor Darul Takzim merupakan negeri pertama di negara ini yang mengadakan jawatan Menteri Besar sebagai ketua kerajaan negeri yang mentadbir serta menjadi ketua eksekutif negeri. Jawatan ini diadakan pada tahun 1886 oleh Almarhum Sultan Abu Bakar melalui Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor yang baru direka diketika itu. Jawatan ini juga diwujudkan sebagai salah satu usaha Sultan Abu Bakar mengekang campur tangan British dalam pentadbiran negeri selain memodenkan sistem pentadbiran negeri yang akhirnya menjadi contoh kepada negeri-negeri lain.

Jawatan Menteri Besar ini bermula dengan Dato Jaafar Bin Muhammad sebagai Menteri Besar Johor yang pertama. Beliau juga merupakan individu paling lama menduduki jawatan tersebut iaitu selama 33 tahun. Kediaman rasmi Menteri Besar Johor pertama ialah di Istana Bukit Senyum yang kini merupakan Muzium Tokoh Negeri Johor. Kini rasmi kediaman Menteri Besar Johor ialah Saujana, Johor Bahru.

mb 2

Dato Jaafar Muhammad, Menteri Besar Johor Yang Pertama

Menteri Besar Johor merupakan ketua kerajaan bagi negeri Johor Darul Takzim. Jawatan ini biasanya akan diduduki oleh pemimpin parti yang memenangi kerusi paling banyak dalam Dewan Undangan Negeri Johor. Menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor, Sultan Johor akan melantik seorang Menteri Besar untuk menjadi pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan syarat untuk menjadi Menteri Besar hendaklah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri yang mana menurut pandangan Tuanku Sultan mampu untuk memiliki sokongan majoriti daripada ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Menteri Besar Johor juga hendaklah berasal daripada kaum Melayu yang beragama Islam serta merupakan rakyat asal negara ini, bukannya yang memiliki kerakyatan Malaysia secara ‘naturalisasi’ atau memohon. Sultan Johor dengan nasihat daripada Menteri Besar boleh melantik tidak lebih daripada 10 atau kurang daripada 4 Ahli Dewan Undangan Negeri sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor.

mb 1

Bendera Peribadi Dato Menteri Besar Johor

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor hendaklah mengangkat sumpah taat setia dan sumpah kerahsiaan dihadapan Sultan sebelum boleh menjalankan fungsi rasmi sebagai exco kerajaan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri secara kolektifnya bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri dalam kebanyakkan perkara mengenai pentadbiran negeri. Ahli Majlis Kerajaan Negeri dilarang untuk terlibat dengan sebarang perniagaan, perdagangan atau profesion yang boleh menyebabkan konflik berkepentingan dalam menjalankan tugas-tugas pentadbiran negeri.

Jika kerajaan gagal untuk mendapat kelulusan peruntukan (bajet) dari Dewan Undangan Negeri, atau Dewan Undangan Negeri meluluskan undi tidak percaya kerajaan, Menteri Besar hendaklah meletak jawatan dengan serta merta. Sultan mempunyai pilihan untuk mengganti Menteri Besar dan ianya bergantung kepada keadaan semasa. Ahli Majlis Kerajaan Negeri selain daripada Menteri Besar boleh berada dalam jawatan masing-masing jika dikehendaki oleh Sultan, melainkan perlantikan Ahli Majlis Kerajaan Negeri ditarik balik atas nasihat Menteri Besar yang juga pada bila-bila masa akan meletakkan jawatannya itu.

Jika berlaku perkara-perkara seperti dikalahkan dalam Pilihan Raya atau Menteri Besar meninggal dunia, Sultan secara umumnya akan melantik Menteri Besar baharu berdasarkan sokongan keatas pemimpin baharu parti yang memerintah itu.

Kuasa Menteri Besar dalam mentadbir mempunyai batasan tertentu. Menteri Besar yang disingkirkan daripada kepimpinan parti, atau memiliki undi tidak percaya dalam Dewan Undangan negeri, mesti menasihatkan Sultan agar membubarkan DUN dan mengadakan Pilihan Raya Negeri atau disingkirkan dari jawatan Menteri Besar oleh Sultan. Kekalahan dalam perbentangan bajet negeri atau gagal untuk meluluskan polisi-polisi penting dilihat memerlukan pembubaran kerajaan sedia ada kerana seperti undi tidak percaya, kerajaan tidak mampu untuk berbelanja.

mb 3

Dewan Undangan Negeri Johor

Majlis Kerajaan Negeri akan memerintah selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama melainkan Sultan dengan nasihat Menteri Besar berkenan untuk membubarkan DUN. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri membenarkan pilihan raya ditangguhkan selama 60 hari daripada tarikh pembubaran. Dewan Undangan Negeri hendaklah bersidang dalam tempoh tidak lebih daripada 120 hari dari hari pembubaran DUN. Kebiasaannya, tempoh diantara pembubaran DUN sehingga bersidangnya DUN yang baru, Menteri Besar dan ahli Exco akan kekal dalam jawatan masing-masing atas kapasiti memangku.

Berikut merupakan senarai Menteri-Menteri Besar Johor Darul Takzim

  • Menteri Besar Yang Pertama
    Dato Jaafar Bin Muhammad (1886 – Julai 1919)
  • Menteri Besar Ke-2
    Dato Mohamad Bin Dato Mahbob (16 Julai 1920 – 1 September 1922)
  • Menteri Besar Ke-3
    Dato Abdullah Bin Dato Jaafar (September 1923 – 1928)
  • Menteri Besar Ke-4
    Dato Mustapha Bin Jaafar (16 September 1928 – 23 November 1931)
  • Menteri Besar Ke-5
    Dato Abdul Hamid Yusof (23 November 1931-28 Disember 1934)
  • Menteri Besar Ke-6
    Dato’ Ungku Abd Aziz bin Ungku Abd Majid (April 1935 – 1 Jun 1947)
  • Menteri Besar Ke-7
    Dato’ Onn bin Jaafar (1 Jun 1947 – 18 Mei 1950)
  • Menteri Besar Ke-8
    Dato’ Syed Abdul Kadir bin Mohamed (20 Februari 1952 – 5 Jun 1955)
  • Menteri Besar Ke-9
    Dato’ Wan Idris bin Wan Ibrahim (1 Oktober 1955 – 16 Jun 1959)
  • Menteri Besar Ke-10
    Tan Sri Dato’ Hj. Hassan bin Yunus (27 Jun 1959 – 31 Januari 1967)
  • Menteri Besar Ke-11
    Tan Sri Othman bin Mohd Saat (Februari 1967 – April 1982)
  • Menteri Besar Ke-12
    Dato’ Abdul Ajib bin Ahmad (29 April 1982 – 12 Ogos 1986)
  • Menteri Besar Ke-13
    Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Muhammad Yassin (12 Ogos 1986 – 3 Mei 1995)
  • Menteri Besar Ke-14
    Tan Sri Dato’ Haji Abdul Ghani bin Othman (3 Mei 1995 – 3 April 2013)
  • Menteri Besar Ke-15
    Dato’ Sri Mohamed Khaled bin Nordin (8 Mei 2013 – kini)
Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.