Sejarah Penciptaan Jata Kerajaan Johor, Lambang Keagungan Negeri

Sejarah lambang atau Jata Negeri Johor bermula pada zaman pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar (1862-1895). Dikatakan kisahnya bermula apabila Sultan Abu Bakar memanggil Leftenen Kolonel Haji Musa bin Yusof dan menitahkannya supaya mencipta sebuah lambang yang sesuai untuk kerajaan Johor.

Namun begitu, dakwaan mengenai Leftenan Kolonel Haji Musa Bin Yusof diperintahkan oleh Sultan untuk mencipta Jata Kerajaan Johor telah disangkal oleh beberapa pihak kerana beliau didapati lahir pada tahun 1889 sedangkan Sultan Abu Bakar mangkat pada 1895. Adalah agak meragukan jika Sultan mengarahkan seorang anak kecil untuk mencipta jata kerajaan. Disebabkan itu masih belum jelas siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab mencipta Jata Kerajaan Johor ini.

Jata Kerajaan Johor ini direka berdasarkan Lambang Diraja England iaitu sebuah perisai yang disokong oleh dua ekor singa di kiri dan kanannya. Disebabkan Johor tiada Singa, lalu harimau dijadikan sebagai Lambang Negeri Johor dan terus digunakan hingga ke hari ini.

Susun atur dan reka bentuk jata negeri Johor Darul Takzim banyak dipengaruhi oleh gaya jata Barat terutama jata negara Great Britain, yang mengandungi perisai di tengah, ketopong di atasnya, diapit oleh dua penyokong beserta pangsa dan cogan kata di bahagian bawah. Berikut merupakan maksud disebalik lambang yang terdapat pada jata kerajaan Johor Darul Takzim ini.

Jata Johor

Ketopong

Ketopong (merujuk kepada mahkota) melambangkan kedaulatan di mana ia merujuk kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan yang memerintah negeri Johor dan wilayah jajahan takluknya. Bulan sabit dan bintang berbucu lima menghiasi mahkota itu dan ia diwarnai dengan warna kuning dan biru.

Perisai

Perisai jata ini terdiri daripada garis rangka “Inggeris” berwarna putih dan di setiap sudut terdapat empat bintang kecil serta satu bintang besar dan bulan di tengah perisai. Kelima-lima bintang tersebut berbucu lima dan berwarna kuning (termasuk warna bulan). Bintang-bintang kecil membawa maksud empat jajahan besar yang asal bagi Johor iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau. Bulan sabit dan bintang besar pula sebagai tanda agama Islam sebagai agama rasmi negeri.

Penyokong

Penyokong yang memegang perisai pada jata menampilkan dua ekor harimau garang. Simbol ini mengingatkan kepada binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di dalam negeri ini.

Pangsa

Pangsa berwarna kuning yang berada di bahagian bawah perisai dan penyokong menggambarkan kepada tanaman gambir dan lada hitam iaitu dua jenis hasil pertanian utama bagi negeri ini.

Cogan Kata

Cogan dalam tulisan Jawi yang bertulis “Kepada Allah Berserah” memberi pengertian bahawa Bangsa Johor sentiasa berusaha untuk melakukan sesuatu perkara dan pada akhirnya kembali bertawakal kepada Allah dalam setiap hal.

Sumber

JOHOR Southern Tigers
pmr.penerangan.gov.my

jata johor

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.