Amukan Panglima Salleh Lenyapkan Kekejaman Komunis, Serangan Pertama Di Kangkar Senangar

satu program percuma khas oleh orangjohor.com

Ketokohan dan kepahlawanan Panglima Salleh mulai terserlah, apabila berpindah ke daerah ini untuk mengubah nasib diri dan keluarga, selepas tidak lagi bekerja dengan Jepun sejak melarikan diri dari Singapura.

Pengkaji sejarah serta penulis biografi ‘Penghulu, Panglima, Kiyai Salleh Abd Karim’, Siti Patonah Muashot, 74, berkata perubahan sikap itu bermula apabila isterinya, Basariah Abd Rashid, menuntut cerai selepas tidak mampu bersabar dengan sikap Salleh yang nakal mengikut darah muda.

Beliau berkata, pada mulanya Panglima Salleh bersetuju bercerai tetapi membatalkan hasrat itu serta memujuk kembali isterinya selepas bermimpi bertemu dengan ulama yang menasihatkannya supaya tidak meneruskan langkah itu.

“Menerusi mimpinya, Salleh turut diajar ayat al-Quran yang kemudian menjadi amalan penting hidupnya termasuk ketika bertempur dengan komunis Bintang Tiga.

“Ketika memulakan hidup di Batu Pahat, Salleh menetap di Parit Gantung, sambil menjalankan perniagaan tukar barang. Namun, selepas Jepun menyerah kalah pada 1945, keadaan Batu Pahat menjadi kucar-kacir kerana komunis bermaharajalela terutama sekitar Seri Medan, menyebabkan situasi ketika itu tegang.

selempang 1

Siti Patonah menunjukkan kain selempang merah tertera ayat al-Quran yang dipakai setiap pengikut Panglima Salleh ketika mengempur komunis

“Pada Ogos dan September 1945, kekejaman komunis memuncak apabila mereka membunuh dan membakar rumah penduduk sekitar Batu Pahat sehingga menyebabkan ketakutan dan suasana kacau bilau,” katanya.

Siti Patonah berkata, penduduk kampung sering hilang tanpa kesan akibat ditangkap dan diseksa komunis sehingga mati, menyebabkan orang Melayu hidup ketakutan.

“Ekoran kekejaman itu, orang Melayu akhirnya bangkit mempertahankan hak serta nyawa mereka tetapi usaha Penghulu Mukim Empat, Kari Md Saat (Penghulu Kari) mengumpulkan penduduk menyerang balas komunis gagal.

“Berikutan itu, Salleh dicadangkan penduduk yang mengetahui ketinggian ilmu kebatinannya. Langkah pertama Salleh sejurus menerima tanggungjawab itu ialah mengumpulkan sukarelawan tetapi hanya 38 orang tampil kerana ramai sangsi kepimpinannya,” katanya.

Siti Patonah berkata, Salleh mengumpulkan semua pejuang itu di rumahnya sebelum melakukan persiapan lengkap aspek kerohanian dengan pelbagai amal ibadat sebelum memakaikan setiap pengikutnya dengan selempang merah sebelum melancarkan serangan pertama di Kangkar Senangar, Parit Sulong .

selempang 2

GAambar Panglima Salleh (tengah) bersama Datuk Onn Jaafar (kiri) yang disimpan dan dipamerkan di Muzium Onn Jaafar, Batu Pahat.

“Dalam pertempuran itu, kejadian aneh berlaku apabila komunis yang bersenjata api hanya menembak ke arah atas kerana pada pandangan mereka, Panglima Salleh dan pengikutnya seperti gergasi setinggi pohon kelapa.

“Situasi itu dimanfaatkan Salleh bersama pengikutnya untuk melibas parang dan pedang, bagaikan sedang terbang hingga komunis tumbang satu persatu. Kejadian sama berulang dalam serangan kedua yang disertai 100 pejuang terhadap komunis di kawasan Bukit Alam, Tongkang Pechah,” katanya.

Kejayaan mereka tersebar ke seluruh Batu Pahat dan Muar, sekali gus menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap kepemimpinan beliau menentang komunis, ketika serangan diteruskan di Bukit Naning dan Air Hitam, Muar serta Semerah dan Parit Ju, Batu Pahat.

Sepanjang usaha Tentera Selempang Merah itu memerangi komunis di Batu Pahat dan Muar, ada juga usaha perdamaian cuba digerakkan ketika Panglima Salleh sendiri mengharapkan keamanan dinikmati.

Namun, ketika Salleh bersetuju untuk perdamaian, pengganas Bintang Tiga membalas dendam dengan menyerang kampung Melayu serta membunuh beberapa penghulu.

selempang 3

Kain selempang merah dipakai anggota Tentera Selempang Merah yang juga pengikut Panglima Salleh ketika menentang komunis

Siti Patonah berkata, berang tindakan itu, Panglima Salleh kembali menyusun rancangan menyerang kubu serta lubuk komunis di pusat bandar Batu Pahat iaitu Bandar Penggaram, hingga menarik orang Melayu Batu Pahat dan Muar turun berkumpul di Bagan.

“Ketika Panglima Salleh mengetuai mereka berjalan kaki dari Bagan ke arah pusat bandar Batu Pahat, Datuk Onn Jaafar, yang juga Pegawai Daerah Batu Pahat ketika itu datang memujuk agar mereka membatalkan serangan terbabit.

“Rupanya sebelum itu, masyarakat Cina bergegas menemui Datuk Onn merayu supaya menyelamatkan Bandar Penggaram daripada menjadi padang jarak kerana takut amukan Panglima Salleh dan pengikutnya, ekoran ilmu parang dan pedang terbang dimiliki Tentera Selempang Merah,” katanya.

Siti Patonah berkata, penyelidikannya ketika menulis biografi Panglima Salleh, mendapati Datuk Onn berbuat demikian berikutan komunis mengancam membakar keluarganya bersama kediaman mereka, jika gagal memujuk Panglima Salleh membatalkan rancangan serangan itu.

Selepas rancangan menyerang Bandar Penggaram dibatalkan, Datuk Onn memanggil penghulu setiap mukim di Batu Pahat, ketua komunis Bintang Tiga dan masyarakat Cina Bandar Penggaram berunding di Dewan Perniagaan Cina dekat Jalan Rahmat.

selempang 4

Siti Patonah menunjukkan kain merah kini disimpan di Muzium Onn Jaafar, Batu Pahat.

“Pertemuan itu berjaya apabila semua pihak bersetuju menghentikan serangan dan pergaduhan. Batu Pahat dan Muar akhirnya aman dan tenteram daripada ancaman pengganas komunis ,” katanya.

Jasa Salleh yang besar dalam menghapuskan kekejaman komunis di Batu Pahat diiktiraf apabila Datuk Onn membawanya menghadap Sultan Johor ketika itu, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar di Istana Besar Johor Bahru.

Sultan Ibrahim berkenan memberi gelaran ‘Panglima’ kepada Salleh pada 26 Disember 1945 serta menitahkan beliau dilantik sebagai Penghulu Mukim Empat, Batu Pahat, menggantikan Penghulu Kari yang meninggal dunia pada Julai tahun sama.

Jasa Panglima Salleh tidak terhenti di situ sahaja, apabila beliau menjadi ikon pemimpin disanjungi masyarakat sebelum bekerjasama dengan Datuk Onn ketika memimpin orang Melayu menentang gagasan Malayan Union.

Salleh juga menitik beratkan pelajaran apabila hasil usahanya bersama penduduk, mengutip derma mendirikan sekolah termasuk Sekolah Seri Laksana, Sekolah Seri Chomel dan Sekolah Seri Cantik yang masih wujud hingga kini apabila diambil alih kerajaan,” katanya.

Panglima Salleh meninggal dunia di Hospital Besar Johor Bahru pada 21 April 1959 akibat penyakit bengkak paru-paru tetapi legasi keperwiraannya masih dikenang masyarakat Johor hingga kini.

Sumber artikel Berita Harian Online bertarikh 10 April 2016

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.