Istana Johor Bantu Penubuhan UMNO, Matlamat Kearah Negara Merdeka

Pada 11 Mei tahun 1946, United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali dengan UMNO telah ditubuhkan secara rasminya di Istana Besar, Johor Bahru. UMNO tertubuh dengan mendapat restu perkenan DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Sir Ibrahim yang telah mencemar duli untuk memberi titah ucapan sempena konvensyen yang diwakili 29 NGO Melayu seluruh Persekutuan Tanah Melayu.

umno 1

Kelahiran UMNO adalah hasil dari cetusan semangat kebangsaan orang-orang Melayu yang lahir tepat pada masa dan keadaan yang memerlukan. Pergolakan politik yang berlaku sejak awal abad yang ke 20 membawa kepada tertubuhnya UMNO pada tahun 1946 itu telah menyebabkan orang Melayu mengalami satu proses pembentukan identiti yang panjang dan penuh dengan cabaran.

Sejarah telah membuktikan ketabahan serta ketinggian semangat kebangsaan di kalangan orang-orang Melayu untuk berjuang bagi menentukan nasib masa hadapan bangsa dan tanah air mereka setelah sekian lama dijajah oleh kuasa barat.

umno 2

Apabila berakhirnya pendudukan Jepun dan kembalinya British ke Tanah Melayu pada akhir tahun 1945, berlakunya peristiwa yang penting dalam sejarah Tanah Melayu kerana pada tahun tersebut telah berlaku satu revolusi yang besar dalam perkembangan politik orang-orang Melayu. Revolusi ini berlaku kerana British yang kembali semula ke Tanah Melayu bukanlah untuk memberikan kemerdekaan sebagaimana yang diharapkan oleh sebahagian besar daripada penduduk Tanah Melayu tetapi telah membawa bersama-sama mereka satu gagasan bentuk penjajahan yang lebih terkutuk iaitu Malayan Union bagi menjamin pengekalan kuasa British di Tanah Melayu.

Kewujudan Malayan Union secara langsung telah mempercepatkan lagi perjalanan proses politik di Tanah Melayu, dan Malayan Union juga telah menyebabkan lahirnya UMNO yang kemudian menjadi tulang belakang politik orang-orang Melayu. Penubuhan UMNO telah disusun dan dirangka dengan sebaik-baiknya supaya ia dapat berfungsi dan berperanan bagi memperjuangkan kepentingan orang-orang Melayu di tanah air mereka serta dapat dijadikan badan tunggal untuk menyuarakan hasrat dan kehendak-kehendak masyarakat Melayu.

umno 3

Mengikut perlembagaan parti, UMNO ditubuhkan dengan tujuan untuk menjalankan segala ikhtiar dan langkah bagi mendirikan sebuah negara Malaya yang Merdeka dan berdaulat. Perjuangannya adalah untuk memajukan kepentingan rakyat Melayu khasnya dan rakyat Malaya amnya, di dalam semua lapangan. UMNO mengutamakan dan mempertahankan Agama Islam, adat resam Melayu serta berusaha dalam mengembangkan agama yang maha suci itu. UMNO juga ditubuhkan bagi memelihara taraf kedaulatan Raja-raja Melayu sebagai Raja-raja yang Berperlembagaan di negeri masing-masing.

Di samping itu UMNO juga bermatlamat menubuh, mengawal dan memelihara asas-asas pemerintahan demokrasi secara berparlimen. Sebagai sebuah pertubuhan politik UMNO juga bermatlamat untuk mengawal dan memelihara kebebasan beragama, berfikir, berucap, menulis, berkempen dan mengadakan persatuan-persatuan, menghormati, memelihara kepentingan kumpulan-kumpulan kaum yang kecil. UMNO juga melaksanakan kerjasama dengan bangsa-bangsa lain di dunia atas dasar persamaan hak bagi mencipta susunan masyarakat baru yang berdasarkan perikemanusiaan dan keadilan.

Sumber Kesultanan Johor Blogspot

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.