Keramat Buaya Si Bujang Jambu, Penjaga Sungai Kesang

satu program percuma khas oleh orangjohor.com

Sungai-sungai yang ada didalam negeri Johor ini terkenal mempunyai buaya yang banyak. Bahkan sehingga hari ini masih terdapat banyak buaya yang mendiami sungai-sungai tersebut. Dalam artikel kali ini orangjohor akan menceritakan kisah buaya Sungai Kesang yang dipanggil sebagai Keramat Si Bujang Jambu.

Sebagaimana yang telah diketahui oleh semua, Sungai Kesang pada zaman dahulu airnya sangat dalam. Dikhabarkan banyak terdapat lubuk sebagai habitat buaya buaya yang banyak terdapat disitu. Seluruh penduduk di kampung Sungai Rambai ini tahu tentang keganasan buaya buaya di sepanjang sungai Kesang, bahkan dikatakan apabila ranting kayu jatuh ke air pun akan disambarnya. Kera-kera dan lotong tidak berani bergayutan didahan dahan pokok yang mencecah air takut akan nyawanya terancam. Begitu juga manusia yang berperahu hilir mudik di Sungai Kesang sentiasa berhati hati, kerana telah banyak berlaku yang mana penduduk Kampung Sungai Rambai telah menjadi korban akibat dibaham buaya.

jambu 1

Ada pun diceritakan oleh orang-orang yang terdahulu turun temurun dari mulut kemulut, buaya-buaya di Sungai Kesang itu ada ketuanya, iaitu seekor buaya jantan jadian bernama ‘Si Bujang Jambu’ dan pasangannya seekor buaya betina bernama ‘Si Bujang Bunga’. Bujang jambu sebagai ketua dikalangan segala buaya-buaya yang ada di Sungai Kesang dan sikapnya amatlah ganas tiada tolok bandingnya diketika itu. Maka banyaklah orang orang kampung menjadi mangsa dibaham oleh Si Bujang Jambu. Peristiwa ini berlaku disekitar penghujung tahun 1800 sehingga diawal tahun 1900.

Oleh kerana penduduk penduduk kampung sentiasa berada didalam ketakutan untuk turun ke sungai mencari rezeki, maka mereka semua telah bermuafakat untuk mengajukan masaalah ini kepada seorang pawang handalan di Kampung Teluk Rimba bernama Pawang Sedon bin Pawang Tahir. Pawang Sedon berketurunan Bugis, generasi keempat dari jurai keturunan Tok Lahir@Tok Moen @Tok Kesang bin Daeng Jannung pembuka asal Kampung Kesang Tasik Ledang.

bujang 2

Dikhabarkan Pawang Sedon boleh berkomunikasi dengan buaya-buaya yang ada di Sungai Kesang serta boleh membuatkan buaya-buaya tersebut menurut perintahnya. Sehinggakan beliau digelar sebagai pawang buaya. Disatu ketika Si Bujang Jambu telah membaham seorang nelayan penduduk kampung Sungai Rambai sewaktu beliau sedang merawai udang di Sungai Kesang. Ini membuatkan jumlah mangsa telah bertambah dan mayat mereka tidak dapat dijumpai. Ahli waris telah mengundang Pawang Sedon untuk membantu menyelesaikan masalah serangan buaya ini. Pawang Sedon telah membaca menteranya ditepi Sungai Kesang sambil berseru dan memanggil semua buaya-buaya spuaya timbul.

Sekonyong konyong maka timbullah segala buaya-buaya tersebut berbaris menurut perintah sambil disaksikan penduduk kampung, namun si Bujang Jambu tidak kelihatan. Dikhabarkan kononnya Si Bujang Jambu telah merasa bersalah, dan datang agak lewat sambil menggonggong mayat nelayan yang hilang untuk memulangkannya. Pawang Sedon telah memberi amaran kepada buaya-buaya yang ada disitu itu agar jangan lagi mengganggu penduduk yang berada disepanjang sungai Kesang. Selepas peristiwa itu semua buaya-buaya menghilangkan diri kedalam air dan hanya sekali sekala dilihat berada didaratan.

jambu 3

Sehinggalah disatu ketika tentera British telah melontarkan beberapa butir bom tangan didalam sungai Kesang untuk menghalau buaya-buaya itu. Hendak dijadikan cerita salah satu daripada bom tangan yang dilontar itu, sebelum sampai keair telah disambar olih si Bujang Jambu dan meletup didalam rahangnya. Akibat dari letupan itu Si Bujang Jambu telah naik kedarat dan mati ditepi Sungai Kesang. Penduduk kampung telah menanamkan bangkai Si Bujang Jambu di tepi sungai Kesang disebelah kanan tebing sungai didalam negeri Johor, dan telah diletak tanda serta disebut oleh orang kampung sebagai ‘Keramat Si Bujang Jambu’.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.