Lagenda Puteri Gunung Ledang, Kisah Cinta Termasyhur Alam Melayu

Setiap rakyat Malaysia hari ini pastinya tahu akan lagenda yang satu ini, Puteri Gunung Ledang. Kisah lagenda Puteri Gunung Ledang ini telah tertulis dalam dua buah buku sejarah Alam Melayu yang terkenal iaitu Hikayat Hang Tuah dan Salalatus Salatin. Gunung Ledang terletak di sempadan Muar, Johor dan Melaka yang mana kini menjadi destinasi perlancongan dan riadah yang terkenal buat rakyat Melaka dan utara Johor.

Namun tidak ramai yang mengetahui kisah hidup puteri yang cantik jelita yang menjaga gunung tersebut sebelum beliau cuba dipinang oleh Sultan Melaka Sultan Mahmud Syah. Dalam artikel kali ini orangjohor akan menceritakan kisah hidup Puteri Gunung Ledang yang selama ini kurang diceritakan kepada ramai mmengenai puteri yang sehingga kini dipercayai masih mendiami gunung tersebut.

puteri 1

Menurut kepercayaan lama orang Melayu, ada seorang puteri bunian yang cantik tinggal di Gunung Ledang dan digelar sebagai Puteri Gunung Ledang. Puteri Gunung Ledang mempunyai 7 saudara yang berasal dari Jawa. Ada saudaranya yang berada di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Puteri Gunung Banang di Batu Pahat, Puteri Gunung Panti di Kota Tinggi dan Puteri Gunung Beremban yang berada di sempadan Johor-Pahang.

Puteri-puteri bunian ini tidak boleh dilihat oleh manusia biasa, Namun ada sesetengah orang yang menjadi bomoh serta mereka yang sesat di pergunungan tersebut dikatakan ada berjumpa dan bercakap dengan puteri2 tersebut. Berdasarkan cerita lisan orang-orang Melayu zaman dahulu, Puteri Gunung Ledang tinggal di Puncak Mahligai. Beliau mempunyai kekasih hati yang tinggal di puncak Gunung Rundok dan setiap malam puncak Gunung Rundok akan menghampiri Puncak Mahligai dan dua kekasih ini akan meluangkan masa bersama sehingga awal pagi.

puteri 2

Selepas beberapa tahun, pada suatu malam semasa meluangkan masa bersama, mereka tidak sedar sudah melewati awal pagi. Tindakan mereka ini melanggar sumpah bunian dan disebabkan itu puncak Gunung Rundok ter’tunduk’ sehingga ke hari ini. Disebabkan puncak Gunung Rundok tidak lagi boleh tegak maka putera bunian tersebut terpaksa tinggal di Puncak Mahligai Gunung Ledang dan akhirnya mereka berkahwin.

Selepas berkahwin mereka berbulan madu di Pulau Besar Melaka. Pada suatu hari, ketika Puteri Gunung Ledang sedang menjahit dibawah pokok kelapa di tepi pantai, suaminya datang dari belakang dengan niat untuk bergurau mengejutkan Puteri Gunung Ledang. Beliau yang terkejut dengan gurauan suaminya itu secara tidak sengaja telah menikam tangan suaminya dengan jarum. Dengan serta merta putera bunian jatuh ke tanah dan mati. Putera Bunian tersebut mempunyai sumpahan jika terkena tusukan jarum beliau akan mati. Puteri Gunung Ledang yang sangat sedih dengan peristiwa tersebut memeluk mayat suaminya dan berkata :

“Wahai kekasihku, Putera Mambang, aku bersumpah tidak akan kahwin lagi sehingga aku mati”

Beliau kemudiannya kembali ke Gunung Ledang. Selepas ini baru keluar cerita berkenaan Sultan Mahmud nak meminang Puteri Gunung Ledang.

Setelah beberapa masa berlalu, permaisuri Sultan Melaka, Sultan Mahmud Syah telah pun mangkat dan baginda sangat bersedih diatas kemangkatan permaisuri kesayangan baginda itu. Hal ini membimbangkan pembesar-pembesar Melaka yang risau jika berterusan begini baginda akan jatuh sakit dan menganggu kelancaran pemerintahan negeri. Pembesar-pembesar negeri merayu kepada Sultan agar berkahwin semula. Terdapat banyak puteri-puteri dari negeri lain dan anak-anak menteri yang cantik boleh dijadikan suri kepada baginda. Namun Sultan Mahmud menolak pelawaan tersebut kerana masih terkenangkan Almarhumah suri baginda yang baru mangkat itu.

puteri 3

Pada suatu hari, ketika baginda masih meratapi pemergian suri hati baginda itu, Bendahara datang mengadap dan mempersembahkan kisah mengenai Puteri Gunung Ledang kepada baginda. Sultan Mahmud akhirnya berkenan dengan Puteri Gunung Ledang yang diceritakan oleh Dato Bendahara itu. Beberapa hari kemudian, baginda telah menghantar utusan meminang kepada Puteri Gunung Ledan dan kumpulan utusan itu disertai oleh Laksamana Hang Tuan dan Sang Setia yang terkenal. Tun Mamat pula menjadi penunjuk arah kepada utusan diraja itu.

Setelah beberapa lama berangkat, mereka akhirnya tiba di kaki Gunung Ledang. Namun secara tiba-tiba berlakunya ribut yang kuat dan mereka tidak dapat mendaki gunung tersebut. Tun Mamat kemudian secara bersendirian meredah hutan belantara dan laluan yang sukar sehinggalah beliau berjaya tiba di puncak Gunung Ledang. Beliau terkejut apabila melihat ada taman cantik yang dipenuhi bunga-bunga mekar dan burung berkicauan serta berterbangan disekiling taman itu.

puteri 4

Sewaktu Tun Mamat terpukau kagum melihat keindahan tersebut, tiba-tiba ada seorang nenek kebayan memanggil beliau. “Siapakah kamu wahai pemuda dan kemana kamu ingin pergi?”, tanya nenek kebayan itu.

“Nama hamba Tun Mamat dari Melaka, hamba telah diperintahkan oleh Tuanku Sultan Mahmud untuk meminang Puteri Gunung Ledang, dan boleh hamba tahu nenek ini siapa?” tanya Tun Mamat ingin tahu.

“Nama hamba Dang Raya Rani, pembantu Puteri Gunung Ledang. Jikalau tuan hamba mahu, tunggulah sebentar, hamba akan merujuk urusan tuan hamba kepada Tuan Puteri” jawab nenek kebayan itu.

puteri 5

Nenek kebayan itu tiba-tiba hilang dan kemudian selang beberapa ketika muncul semula dan berkata, “Tun Mamat, mohon sampaikan salam Puteri Gunung Ledang kepada Tuanku Sultan Melaka. Tuan Puteri berkata, jika Tuanku Sultan mahu melamar beliau sebagai suri baginda, baginda hendaklah menunaikan permintaan ini. Pertama Tuanku hendaklah mempersembahkan 7 dulang hati nyamuk, 7 dulang hati kuman, 7 tempayan air mata anak dara, 7 tempayan air pinang, serta 1 mangkuk darah anakanda baginda iaitu Raja Ahmad. Beliau juga meminta agar Tuanku Sultan membina sebuah jambatan emas yang menghubungkan Melaka dan Gunung Ledang.”

Tun Mamat akhirnya turun kebawah berjumpa Hang Tuan dan Sang Setia. Mereka kemudiannya kembali ke Melaka. Permintaan Puteri Gunung Ledang itu dipersembahkan kepada Sultan Melaka dan baginda berkenan untuk menunaikan semua permintaan itu kecuali satu mangkuk darah Raja Ahmad. Permintaan Puteri Gunung Ledang itu dianggap hanyalah alasan untuk menolak lamaran Sultan Melaka kerana beliau masih setia kepada suaminya yang meninggal dunia di Pulau Besar.

puteri 6

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.