Maktab Sultan Abu Bakar, Lebih 100 Tahun Cemerlang Mendidik Anak Bangsa

21 Mac 1914 merupakan tarikh yang pasti diingati oleh seluruh warga sekolah Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) atau ketika ia dikenali dengan nama English College (EC) kerana itu merupakan tarikh penubuhan sekolah terbilang itu.

Pada tarikh tersebut, seramai 21 pelajar lelaki daripada sekolah Bukit Zaharah Lama terpilih untuk mendapat bantuan pendidikan penuh di bawah didikan dua guru berbangsa Inggeris iaitu Morrison dan Holman sebagai kumpulan pertama yang seterusnya menjadi permulaan kepada maktab yang terletak berhampiran Istana Sungai Chat ketika itu.

Sistem pendidikan yang diterapkan di MSAB adalah mengikut sukatan mata pelajaran yang digunakan pihak British ketika itu dimana guru-guru terawal yang mengajar juga datang dari Eropah sebelum guru-guru tempatan mula dibawa masuk mengajar di sekolah tersebut.

abu 3

Pada akhir tahun 1930, maktab tersebut berpindah ke lokasi baharu yang tidak berjauhan dan mula menyinar sebagai sebuah pusat pendidikan yang banyak melahirkan pelajar-pelajar cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan negeri Johor dan juga negara.

Sewaktu zaman penjajahan tentera Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945, EC bertukar wajah daripada pusat pendidikan kepada markas tentera, kilang senjata, hospital tentera serta tempat penyeksaan dan pembunuhan tahanan tentera Jepun.

Namun ia kembali ke fungsi asalnya pada tahun 1946 untuk mendidik anak tempatan serta melahirkan modal insan berkualiti yang diperlukan negara ketika itu.

Bermula daripada sekolah lelaki sepenuhnya, EC mula menerima kemasukan kumpulan pelajar perempuan pertama pada tahun 1949 iaitu seramai dua orang bagi mengikuti Post School Certificate iaitu Tingkatan Enam.

Penambahan struktur bangunan baharu untuk EC terus berjalan seiring dengan kemajuan zaman seperti pembinaan bangunan dewan dan juga makmal sains.

Persatuan bekas pelajar pertama EC ditubuhkan pada tahun 1950 dengan nama Persatuan Murid-Murid Tua Maktab Inggeris.

abu 2

Kemudian pada tahun 1960, nama Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) mula diperkenalkan bagi menggantikan nama English College (EC) sempena nama Bapa Pembangunan Negeri Johor iaitu Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim.

Sungguhpun begitu, panggilan ‘EC’ begitu sinonim dan ramai yang masih menggunakan gelaran yang sama kepada sekolah tersebut selepas lebih empat dekat dengan nama MSAB.

Sekolah yang pada awalnya menempatkan seramai 21 pelajar ini telah berkembang sehingga menempatkan tidak kurang daripada 1,200 pelajar setiap tahun daripada tingkatan satu sehingga tingkatan enam.

Selain itu, MSAB juga menempatkan pelajar-pelajar yang tergolong daripada golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan melalui Unit Pendidikan Khas yang wujud di maktab tersebut bermula pada tahun 1967.

Sehingga kini, MSAB telah banyak melahirkan individu-individu yang berjaya dalam pelbagai bidang meliputi politik, seni dan juga perniagaan.

abu 1

Maktab yang sinonim dengan warna hijau dan kuning itu juga berjaya menerapkan nilai-nilai murni dalam pembangunan sahsiah pelajar dan warga sekolah iaitu melalui kata Usaha dan Jasa atau Labore et Honore.

Kata-kata tersebut begitu dekat di hati para pelajarnya dimana ia berterusan menjadi pegangan seluruh alumni sekolah tersebut walaupun sudah lama meninggalkan zaman persekolan mereka.

Kini, MSAB atau EC telah menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya pada 21 Mac 2014 dan pastinya, warga sekolah yang terdiri daripada bekas pelajar, bekas guru dan bekas kakitangan boleh berbangga dengan pencapaian gemilang sekolah kluster kecemerlangan itu.

Sumber Kesultanan Johor Blogspot

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.