Melayu Kaum Pendatang Di Tanah Melayu?

Malaysia lahir dari negeri-negeri Tanah Melayu yang merdeka pada tahun 1957. Ia kemudiannya menjadi Malaysia setelah penyatuan bersama Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 (Singapura menyertai Persekutuan tetapi dikeluarkan pada tahun 1965).

Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan bahawa hak-hak istimewa bagi orang-orang Melayu di Malaysia, yang merupakan kaum bumiputera di negara ini, akan dilindungi sewajarnya.

Terdapat segolongan kecil rakyat Malaysia yang memperkatakan bahawa orang-orang Melayu bukanlah orang asal di negara ini tetapi adalah pendatang dari Indonesia.

Ini dinyatakan secara jelas dalam artikel terbitan Free Malaysia Today (FMT) berjudul “The Sungai Kandis question: Do Malays want to be Malaysian”.

Malah, seorang tokoh politik DAP, Chong Eng, juga pernah mengatakan pada tahun 2011 bahawa masyarakat Melayu di Malaysia adalah pendatang dari Indonesia.

Apakah benar orang-orang Melayu pendatang di Tanah Melayu?

Kepulauan Melayu/ Nusantara

Bangsa Melayu pernah menjadi pelaut yang hebat. Bangsa ini telah melebarkan pengaruh mereka ke wilayah kepulauan di Asia Tenggara, yang lebih dikenali sebagai Nusantara, menerusi beberapa empayar maritim.

Kerajaan Melayu terawal yang pernah wujud di Nusantara adalah Langkasuka, yang muncul kira-kira pada kurun ketiga Masihi, suatu manifestasi bahawa Nusantara bukanlah terra nullius – tanah tidak berpenghuni.

Nusantara adalah rantau yang luas meliputi wilayah negara-negara Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, selatan Thailand, selatan Filipina dan Timor Leste.

Menjelang kurun ketujuh Masihi, Langkasuka dijadikan jajahan takluk Srivijaya, sebuah kerajaan Melayu-Buddha berpangkalan di Pulau Sumatera, yang menguasai Nusantara lebih daripada 400 tahun.

Srivijaya bukanlah kerajaan India tapi kerajaan Melayu yang dipengaruhi adat budaya India. Sebagai contoh, walaupun kerajaan Brunei dipengaruhi nama Arab, iaitu ‘Darussalam’, ia tetap kerajaan Melayu dan bukannya Arab.

Kekayaan Srivijaya dijana menerusi hubungan diplomatik dan perdagangan yang dijalin dengan China, India dan kerajaan-kerajaan di Timur Tengah.

Pusat kekuasaan ekonomi dan politik di Nusantara berpindah dari Sumatera ke Jawa pada hujung abad kedua belas, apabila Majapahit mengambil alih tampuk kepemimpinan kepulauan Melayu daripada Srivijaya.

Jajahan takluk empayar ini sangat luas, mencakupi wilayah yang berdirinya Malaysia pada hari ini.

Apabila Majapahit melemah pada kurun keempat belas, kesultanan Melaka pula melebarkan pengaruhnya ke seluruh Nusantara, menjadi sebuah kerajaan Melayu yang dihormati dan disegani.

Kepulauan Melayu juga pernah menyaksikan jatuh bangunnya kerajaan-kerajaan rumpun Melayu lain yang tidak kurang hebatnya seperti Johor-Riau di Tanah Melayu, Palembang di Sumatera, Brunei di Borneo, Yogyakarta di Jawa dan Gowa di Makassar.

Fakta-fakta sejarah ini jelas membuktikan bahawa orang-orang Melayu sangat berpengaruh di Nusantara, sehinggakan seorang sarjana British pada kurun kesembilan belas, Alfred Wallace, menamakan Nusantara sebagai ‘Kepulauan Melayu’.

Kesultanan-kesultanan di Tanah Melayu

Penjajahan Barat bermula di Kepulauan Melayu apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511.

Bagaimanapun, kebanyakan kawasan-kawasan di Kepulauan Melayu pada ketika itu masih lagi merdeka dan bangsa rumpun Melayu masih lagi bergerak secara bebas meneroka kawasan-kawasan dalam wilayah Nusantara tanpa sebarang halangan.

Orang-orang Melayu adalah kaum terbesar di Tanah Melayu dan boleh dibahagikan kepada dua kategori utama.

Kategori pertama ialah anak jati – orang-orang Melayu yang memang berasal dari Tanah Melayu dan telah mengasaskan kerajaan-kerajaan di sini.

Kesultanan-kesultanan Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Johor dan Pahang adalah contoh kerajaan-kerajaan yang telah ditubuhkan oleh golongan Melayu anak jati ini.

Kategori kedua ialah anak dagang – orang-orang dari bangsa rumpun Melayu yang datang dari kawasan Kepulauan Melayu, di luar Tanah Melayu, dengan hasrat untuk berhijrah ke Tanah Melayu.

Kebanyakan mereka berketurunan Aceh, Batak, Bugis, Minang, Riau, Rawa dan Jawa. Mereka berhijrah secara sukarela dan tidak dibawa masuk ke Tanah Melayu.

Bersama-sama Melayu anak jati, Melayu anak dagang telah memberi sumbangan yang besar dalam mencorakkan struktur politik prapenjajahan Tanah Melayu.

Sebagai contoh, pengasas kesultanan Melaka pada tahun 1400, Parameswara adalah seorang Melayu dari Sumatera.

Selain itu, kesultanan Selangor yang wujud di Malaysia pada hari ini telah ditubuhkan oleh orang-orang Bugis dari Makassar pada tahun 1756 dan orang-orang Minang dari Sumatera Barat menerajui kerajaan Negeri Sembilan pada tahun 1773.

Sewaktu kesultanan Aceh mencapai puncak kegemilangannya pada kurun keenam belas, jajahan takluknya amat luas melebar dari Sumatera ke Tanah Melayu mencakupi negeri-negeri Kedah, Pahang dan Johor.

Fakta ini jelas menunjukkan bahawa sebelum negara-negara moden seperti Malaysia dan Indonesia diwujudkan di Nusantara, orang-orang Melayu bebas untuk mengembara dan meneroka bukan sekadar daerah di dalam Tanah Melayu, malah kawasan di luar Tanah Melayu.

Ini kerana keseluruhan Kepulauan Melayu dianggap sebagai wilayah bagi orang-orang rumpun bangsa Melayu.

Era penjajahan

Garis pembahagian Kepulauan Melayu yang pertama telah dilukis oleh pihak British dan Belanda menerusi Perjanjian British-Belanda 1824, yang dimaterai di London, secara langsung mengasingkan Tanah Melayu dengan Pulau Sumatera dan Pulau Jawa.

Perjanjian ini meletakkan Tanah Melayu dan Singapura bawah pengaruh British. Walaupun begitu, British tidak menjadikan kesultanan-kesultanan yang wujud di Tanah Melayu sebagai jajahan takluknya tetapi diberikan taraf negeri naungan, tanpa melucutkan sepenuhnya kedaulatan sultan-sultan yang bertakhta di negeri-negeri ini.

Memang benar terdapat sedikit golongan dari komuniti Cina, iaitu golongan Baba Nyonya, yang telah menganggap Tanah Melayu sebagai tanah airnya.

Namun begitu, perpindahan besar-besaran kaum Cina ke Tanah Melayu berlaku pada kurun kesembilan belas apabila mereka dibawa masuk oleh British dari provinsi selatan China, rantau yang sememangnya terletak di luar Kepulauan Melayu, untuk bekerja sebagai kuli dan buruh kasar di lombong-lombong bijih timah yang kebanyakannya terletak di Selangor, Perak dan Negeri Sembilan.

Pendatang-pendatang ini masuk ke Tanah Melayu dengan satu tujuan – peluang pekerjaan – tanpa niat untuk menetap selama-lamanya di Tanah Melayu.

Orang-orang India juga dibawa masuk ke Tanah Melayu dari jajahan takluk British di India dan Ceylon sebagai buruh dan kuli.

Kebanyakan imigran ini adalah lelaki dewasa bujang yang memang tidak berniat untuk menetap di Tanah Melayu kerana mereka mempunyai keluarga yang menunggu di India dan Sri Lanka.

Imigrasi secara besar-besaran ini, tidak seperti penghijrahan orang-orang Melayu anak dagang, tidak dilakukan secara sukarela kerana mereka dibawa masuk oleh pemerintah British untuk mengusahakan lombong-lombong bijih timah dan perkebunan getah di Tanah Melayu.

Imigran-imigran ini sudah tentunya mempunyai bahasa, adat, agama dan budaya yang berbeza dengan orang-orang Melayu di Tanah Melayu pada ketika itu.

Kedudukan orang-orang Cina dan India di zaman tersebut tidak ubah seperti pekerja-pekerja migran yang dibawa masuk dari Indonesia dan Bangladesh di Malaysia pada hari ini kerana mereka tidak dianggap rakyat Duli Yang Maha Mulia Paduka Sultan mahupun rakyat negeri-negeri Tanah Melayu.

Apakah orang-orang Melayu juga pendatang?

Malaysia adalah negara pewaris bagi British Tanah Melayu dan Indonesia pula mewarisi wilayah-wilayah yang pernah menjadi sebahagian daripada Hindia Timur Belanda.

Keadaan kini tidak sama lagi seperti di waktu zaman penjajahan.

Kewujudan sempadan antarabangsa yang memisahkan Malaysia dan Indonesia beerti orang-orang Melayu atau bangsa rumpun Melayu tidak lagi boleh berhijrah dari satu kawasan ke kawasan lain di dalam Kepulauan Melayu tanpa halangan.

Sebelum kemerdekaan Hindia Timur Belanda pada tahun 1945 dan British Tanah Melayu pada tahun 1957, sempadan antarabangsa yang memisahkan kedua-dua wilayah ini masih belum wujud.

Pada ketika itu, seluruh Kepulauan Melayu dianggap sebagai wilayah bagi bangsa rumpun Melayu.

Oleh itu, bagaimanakah orang Melayu boleh disebut sebagai imigran di dalam wilayahnya sendiri?

Terdapat orang-orang Melayu Malaysia yang berketurunan Indonesia. Namun begitu, adalah tidak tepat untuk melabel mereka sebagai ‘pendatang Indonesia’ kerana leluhur mereka pada waktu itu cuma berhijrah dari satu kawasan ke kawasan yang lain dalam Kepulauan Melayu.

Indonesia masih lagi belum wujud. Mereka sememangya orang-orang Kepulauan Melayu.

Lagi pula, tidak terdapat kawalan imigresen ataupun kastam secara rasmi yang dikuatkuasakan oleh pihak British, Belanda mahupun kerajaan-kerajaan Melayu pada waktu itu.

Kesimpulan

Orang-orang Melayu Malaysia tidak wajar dilabelkan sebagai pendatang walaupun terdapat sebahagian daripada mereka yang berasal dari Indonesia.

Berbeza dengan imigran Cina dan India yang dibawa masuk ke Tanah Melayu, orang-orang Melayu berhijrah secara sukarela dengan niat untuk bermastautin di Tanah Melayu sebelum sempadan antarabangsa yang memisahkan Malaysia dan Indonesia terwujud.

Tanah Melayu juga sememangnya terletak secara geografi, di Semenanjung Melayu dalam rantau Kepulauan Melayu. Mana mungkin sesuatu kaum itu wajar digelar pendatang di wilayahnya sendiri.

Menjelang kemerdekaan, orang-orang Melayu menerima kaum-kaum Cina dan India sebagai rakyat Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, dengan syarat hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu sebagai bumiputera dihormati dan diiktiraf sepenuhnya oleh komuniti bukan bumiputera.

Ini adalah pendekatan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin pada ketika itu yang sehingga kini menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara Malaysia.

Walaupun orang-orang Cina dan India di Malaysia pernah menjadi imigran pada zaman penjajahan, orang-orang Melayu kini perlu menerima yang kaum bukan bumiputera juga adalah teman senegara.

Tidak wajar bagi orang-orang Melayu untuk menganggap mereka pendatang secara berterusan kerana mereka adalah rakyat Malaysia.

Sementara itu, kaum bukan bumiputera perlu menghormati hak istimewa orang-orang Melayu dan bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak ini tidak boleh dipersoalkan sewenang-wenangnya.

Mereka juga harus menghormati Rukun Negara dengan mempelajari dan menghormati Bahasa Melayu, bahasa yang diikitiraf sebagai bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Adalah amat menyedihkan sehingga kini ada rakyat Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu.

Malah, ada wakil rakyat sendiri yang kurang fasih berbahasa Melayu seolah-olah mereka tidak lahir dan dibesarkan di Malaysia.

Rakyat Malaysia perlu senantiasa menghormati antara satu sama lain agar kegemilangan Srivijaya, Majapahit ataupun Melaka dapat dikembalikan di zaman moden ini menerusi negara kita yang tercinta, Malaysia.
Bak kata-kata Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim:

“Generasi muda di negara ini perlu sedar yang mereka milik sebuah negara bangsa dan dengan itu perlu menghormati sejarahnya. “

MOHD HAZMI MOHD RUSLI (PH. D) ialah pensyarah kanan di Universiti Sains Islam Malaysia dan profesor pelawat di Sekolah Undang-undang, Far Eastern Federal University, Vladivostok, Rusia.

Sumber Malaysiakini

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.