Meletupnya Kapal Wap S.S. Johore Milik Temenggung Johor Pada 1865

satu program percuma khas oleh orangjohor.com

Menjelang tahun 1850, kuasa pemerintahan negeri Johor Darul Takzim semakin dikuasai sepenuhnya oleh keluarga Raja Temenggung Tun Daeng Ibrahim yang sejak beberapa tahun sebelumnya telah mengambil alih sedikit demi sedikit kuasa pemerintahan negeri daripada Sultan Johor. Ini disebabkan sikap Sultan itu sendiri yang tidak mengambil berat pemerintahan negeri dan banyak membuat hutang sehingga menjejaskan fokus kepada pentadbiran. Dengan sokongan yang tidak berbelah bagi pembesar-pembesar kepada keluarga Temenggung, ianya ibarat tiada halangan lagi untuk Daeng Ibrahim menduduki takhta negeri dan meletakkan nama beliau disamping raja-raja Melayu yang lain.

Tun Daeng Ibrahim sebelum menjadi pemerintah ‘De Facto’ negeri Johor sudah pun diiktiraf antara orang yang terkaya di negeri bahkan lebih kaya berbanding Sultan Johor itu sendiri. Hasil kekayaan inilah yang membolehkan beliau membeli harta yang tidak pernah dimiliki oleh pemerintah sebelum ini seperti kapal yang berkuasa wap daripada eropah. Dalam artikel kali ini Orang Johor akan menyentuh mengenai satu tragedi yang menimpa sebuah kapal wap milik Temenggung Johor yang diberi nama S.S. Johore ketika berada di perairan Singapura.

Pada hari Ahad 16 April 1865, Temenggong Abu Bakar telah memohon kebenaran daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat yang beliau dan beberapa orang pegawai serta pemimpin-pemimpin negeri untuk bercuti sekitar pulau Singapura menggunakan kapal api S.S. Johore pada 24 April hari Isnin yang mendatang. Kapal api tersebut berlabuh di Jeti Dalhousie, Singapura yang terletak berhampiran Jeti Johnston. Jeti Dalhousie merupakan kawasan kecil yang jarang digunakan dan hanya digunakan oleh kapal-kapal perang untuk berlabuh.

johore 1

Kapal api tersebut mempunyai senjata ram (untuk merempuh kapal lain) dan meriam Blakeley. Pegawai senjata kapal S.S. Johore ini John Young. Pada hari Sabtu 22 April 1865, kesemua barangan perhiasan yang diperbuat daripada logam perak telah dibawa naik keatas kapal tersebut dan persiapan telah diatur untuk perjalanan percutian ini. Seperti yang dirancang, kapal tersebut yang berlabuh di Jeti Dalhousie telah bersedia untuk berangkat pada pagi Isnin. Kapal tersebut telah menarik perhatian orang-orang Melayu dan ada beberapa orang diantara mereka yang cuba menaiki kapal tersebut.

Pada jam 2 petang, Encik Wan Abdul Rahman dan Encik Haron, yang merupakan adik bongsu Temenggung telah menaiki kapal tersebut dan bertemu dengan Mr. Wishart, Supritenden Syarikat New Harbour Dock Company serta jurutera syarikat tersebut iaitu, Mr Hugh Bain yang sedang membuat pemeriksaan setelah tukang kayu selesai membuat pembaikan kerusi untuk kegunaan pada hari Isnin yang akan datang. Mereka berdua kemudiannya turun ke pantai dan Encik Abdul Rahman kemudiannya bertanya pada Kapten Kapal S.S. Johore yang merupakan seorang Melayu bernama Encik Wan Abu Talib, mengapa beliau tidak menghidupkan kapal tersebut. Kapten kapal tersebut menjawab jurutera kapal tersebut iaitu Mr. Miller mendapati ada masalah untuk menghidupkan enjin kapal api tersebut.

Encik Wan Abdul Rahman kemudian memasuki ruang enjin dan melihat pekerja-pekerja enjin memusingkan tuil penghidup namun enjin kapal tersebut masih tidak berfungsi. Pada masa ini, Hussein bin Abdullah yang merupakan anak sulung kepada Abdullah Munsyi penulis Hikayat Abdullah, telah memasuki kapal tersebut untuk mencari hiburan. Mr Miller memasuki geladak kapal mencari Encik Wan Abdul Rahman dan berkata ada sesuatu yang tidak kena dengan enjin kapal itu dan mahu menghubungi Mr Bain. Kemudian terdapat sebuah kapal melintasi kawasan tersebut yang dipandu oleh Kapten Cleghorn, ketua kapal wap tunda Henrietta milik Dock Company.

johore 2

Beliau telah dipanggil untuk menaiki kapal tersebut dan sebuah bot kemudiannya dihantar untuk mengambil Mr Bain yang tiba tidak lama kemudian. Ketika kedua-dua orang tersebut memeriksa enjin tersebut, orang tempatan yang bertugas sebagai pengisi batu arang berterusan mengisi arang ke dalam dandang enjin tanpa memastikan kuantiti air di dalam dandang mencukupi sehingga menyebabkan tiub dandang tersebut menjadi merah. Bila air sejuk di pam masuk, bahagian pemanas air tersebut dengan serta merta meletup dan menyebabkan kapal tersebut musnah.

Apabila letupan tersebut berlaku, kesannya tidak dapat digambarkan. Dandang tersebut meletup dengan begitu besar sehingga menyebabkan pelantar kapal dipenuhi dengan mayat-mayat dan orang yang cedera parah. Mereka yang terselamat ialah orang yang duduk dibahagian hadapan kapal tersebut. Geladak kapal tersebut musnah dengan serta merta, serombong asap juga meletup dan tercampak jauh, tiang layar juga patah, kabin kru kapal, barangan perhiasan semuanya musnah.

Dianggarkan seramai tiga puluh orang terbunuh dalam peristiwa tersebut. 5 diantaranya berketurunan Eropah, 2 orang Cina dan selebihnya Melayu. Kapal tersebut berlabuh dalam jarak 100 meter daripada pantai, dan sebaik sahaja mendapat tahu berkenaan kejadian letupan kapal tersebut, bot-bot dan sampan segera tiba untuk membantu mencari dan menyelamat mangsa. Kapten Wishart merupakan orang yang pertama tiba dikawasan kejadian, dan beliau telah menyelamatkan Encik Wan Abdul Rahman.

Encik Wan Abdul Rahman merupakan salah seorang daripada hanya beberapa orang yang terselamat. Beliau sedang berdiri di bahagian geladak dan sejurus sebelum kejadian beliau telah mendengar bunyi ‘seperti wap air panas’ dan tiba-tiba letupan berlaku sehingga beliau tercampak ke dalam laut. Kemudian kepala beliau seperti terkena sesuatu sehingga membuatkan beliau tidak sedarkan diri.

johore 3

Encik Jaffar bin Haji Mohamed Dato Bentara Johor, juga tercampak ke dalam laut. Beliau mengalami kecederaan dibahagian muka dan leher sehingga membuatkan beliau berlumuran darah, dan kesan parut daripada tragedi tersebut kekal bersama beliau sehingga akhir hayatnya. Beliau telah diselamatkan oleh bot yang melalui kawasan tersebut. Encik Hussein bin Abdullah, anak sulung Abdullah Munsyi dan Encik Haron terbunuh akibat letupan tersebut.

Adik bongsu beliau iaitu Encik Ibrahim Munsyi yang merupakan Dato Bentara Dalam Johor, terselamat dari menjadi mangsa insiden tersebut. Beliau yang merupakan Guru Besar di Sekolah Melayu Telok Blanga Malay School telah menutup sekolahnya dan dalam perjalanan pulang ke rumah untuk menukar pakaian sebelum menaiki kapal tersebut. Dalam perjalanan ke pelabuhan, beliau telah berhenti seketika untuk melihat beberapa orang budak sedang bermain guli dan beliau kemudian bercakap dengan Abdul Rahman bin Andak (seorang anak muda yang kemudian menjadi Dato Sri Amar Di Raja) yang sedang menangis dan sekaligus menyebabkan Encik Ibrahim Munsyi terlambat menaiki kapal. Tiba-tiba beliau mendengar bunyi letupan.

Encik Mohamed Yahya bin Abdullah pegawai kewangan Temenggung dan Mat pembantu Encik Wan Abu Talib terbunuh dan jenazah mereka tidak berjaya dijumpai. Mayat mendiang Kapten S.S. Johore iaitu Kapten Cleghorn tidak dijumpai sehinggalah pada pagi Ahad keesokkan harinya.

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.