Naungan Khalifah, Sultan Dan Imam, Faktor Kejayaan JCorp

Minggu lalu kolum ini fokus kepada pentingnya perlindungan dan naungan kuasa politik Melayu membangun kerjaya dan memperkasa CEO GLC menyempurnakan amanah membina organisasi membela masa depan ekonomi bangsa.

Saya berkongsi pengalaman Johor Corporation (JCorp) yang mendapat manfaat daripada kebesaran jiwa dan ketinggian hemah Sultan Iskandar Johor mengguna kuasa istana memangkin JCorp berjaya menjadi organisasi korporat cemerlang.

Pada saya kesediaan Sultan Iskandar mengguna kuasa istana Johor menaungi JCorp sebenarnya antara “aset tidak nyata” (intangible asset), yang juga “modal politik” paling tinggi nilai kepada GLC negeri seperti JCorp, mengupayakannya menyempurnakan amanah korporatnya.

j 1

Naungan memangkin kecemerlangan

Aset dan modal ini memudahkan JCorp fokus membina bisnes hingga syarikat seperti Kumpulan Perubatan Johor Sdn Bhd (KPJ) yang pada mulanya dimurkai dan dititah tutup oleh Sultan, akhirnya berjaya memiliki lebih 20 hospital bukan sahaja di Malaysia, malahan juga di luar negara.

Saya dapati Sultan Iskandar kemudiannya turut berbesar hati dan bangga dengan kejayaan KPJ. Pernah satu ketika, dengan nada serius sekali pun berseloroh, baginda bertanya kepada saya: “Kenapa tidak naikkan bendera Johor di semua hospital KPJ milik JCorp?”

Syarikat pemilik Hospital Pakar Johor ini kemudiannya ditukar nama kepada KPJ Healthcare Bhd dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada November, 1994, dengan langganan sahamnya 88 kali melebihi tawaran (oversubscribed).

j 2

Sambutan menggalakkan ini satu petanda keyakinan tinggi masyarakat pelabur, bukan sahaja terhadap KPJ, malahan juga terhadap keupayaan JCorp.

Lebih berkesan kepada JCorp, naungan kuasa Sultan Iskandar yang terkenal dengan personaliti hebat luar biasa dihormati dan digeruni ramai, melindungi JCorp daripada campur tangan dan kompromi politik melemahkan dan kerenah politik murahan.

Perlindungan dan naungan ini lebih bermakna terutama apabila baginda sendiri tidak mempunyai agenda peribadi memiliki saham atau mengambil sesen pun “royalti” daripada bisnes JCorp sepanjang saya menjadi CEO.

Semua ini memudahkan CEO JCorp menangani ancaman politik dari sudut lain, termasuk mengatasi kesilapan dasar kerajaan dan kompromi politik negara.

Misalnya, dengan adanya naungan politik istana, mudah sekali JCorp mengatasi arahan songsang kerajaan, terutama yang jelas bertentangan dengan aspirasi memperjuangkan kepentingan jangka panjang rakyat jelata.

Menangani doktrin liberalisasi

Sekali pun kerajaan pasti tidak senang dengan tindakan GLC atau agensi menentang arus dasar dan menolak arahan, namun kadang kala ini harus GLC lakukan untuk maslahat dan kepentingan lebih besar bangsa dan negara.

Sewaktu menerajui JCorp, beberapa kali saya berhadapan situasi menuntut saya menentang arus dasar kerajaan.

Peristiwa paling mencabar berlaku ketika kerajaan dipengaruhi doktrin liberalisasi kapitalisme global melaksanakan dasar penswastaan di Malaysia dan JCorp diarah turut sama menswastakan saham syarikat miliknya yang mencatat keuntungan tinggi.

j 3

Doktrin liberalisasi melampau pro-swasta menuntut kerajaan tidak terbabit bisnes, sekali pun dengan tujuan mengimbangi jurang ketidakadilan ekonomi.

Justeru, peranan GLC seperti JCorp membela nasib golongan bawahan dan melindungi hak kepentingan rakyat jelata daripada dihimpit dan dipinggirkan korporat swasta tidak disenangi pejuang politik liberalisasi. Sebaliknya, agenda perjuangan puak liberalisasi bertujuan menswastakan JCorp dan semua GLC.

Ternyata Dasar Penswastaan memudaratkan kepentingan ekonomi Melayu setelah pegangan hak milik ekuiti Melayu merosot.

Lebih memudaratkan ialah kesan dan impak negatifnya apabila semangat juang bisnes dan korporat GLC serta patah dan morale atau motivasi CEO terjejas teruk, seperti disaksikan berlaku pada beberapa GLC/PKEN lain.

Tragedi paling besar berlaku apabila bahagian bisnes strategik yang diswastakan kepada individu Melayu akhirnya terlepas tangan.

Selain kehilangan hak milik, dipercayai Dasar Penswastaan juga antara punca utama kerakusan kuasa, korupsi dan kronisme menjejas imej politik Malaysia. Saya yakin penswastaan juga telah memburuk dan membusukkan imej dan nama baik Dasar Ekonomi Baru sebagai penegak keadilan membela masa depan rakyat jelata.

Apa pun, alhamdulillah, JCorp berjaya mengatasi semua halangan, membolehkannya berkembang pesat membina keupayaan menjadi GLC amanah perkasa memiliki beberapa bisnes strategik negara.

j 4

Keupayaan tinggi JCorp terbukti setelah nilai pasaran modal (market capitalization) saham syarikat tersenarai JCorp mencatat lebih RM20 bilion pada akhir 2012.

Peranan amanah JCorp lebih ketara setelah berjaya membina barisan membabitkan lebih 200 intrapreneur atau entrepreneur amanah anak bangsa, antaranya berkeupayaan menerajui bisnes strategik, termasuk tersenarai bukan sahaja di Malaysia, malahan juga di Bursa Saham London.

Khalifah, sultan dan imam

Sesungguhnya JCorp bertuah kerana selama empat dekad sejak penubuhannya mendapat perlindungan politik positif lagi memperkasa. Tanpa lindungan kuasa politik merangsangkan, mustahil JCorp dapat berkembang pesat menghimpun harta kekayaan korporat, jauh sekali daripada mengekalkan hak milik saham dan melangsungkan kecemerlangan korporatnya.

Namun, kuasa politik menaungi GLC seperti JCorp sentiasa berubah mengikut perubahan situasi politik pada sesuatu masa. Justeru, CEO dan barisan pengurusan GLC perlu sentiasa waspada bertindak sewajarnya melayari perahu organisasi dengan penuh hikmah dan kebijaksanaan memegang kuat semua tali teraju di tangan mereka.

Tugas dan amanah utama mereka ialah menentukan akhirnya perahu GLC tidak hanyut, terlepas genggaman kemudi, hilang pedoman atau langsung karam dilanda ribut taufan, termasuk oleh gelora berpunca kuasa politik atasan.

JCorp bertuah kerana dalam dekad pertamanya, kuasa politik didominasi personaliti hebat pengerusi pengasasnya, Tan Sri Othman Saat, bekas Menteri Besar Johor.

j 5

Ketokohan politik Tan Sri Othman dan ketinggian hikmah bisnes beliau membolehkan JCorp (ketika itu PKENJ) bertapak dengan teguh mengatasi segala tuntutan dan karenah politik murahan terhadapnya. Di dekad kedua hingga ke empat, iaitu di bawah pemerintahan Sultan Iskandar Johor, senario politik Johor berubah sama sekali setelah didominasi kuasa istana.

Sekali pun pada mulanya terancam dan tertekan, pada akhirnya JCorp beroleh manfaat luar biasa. Dalam tiga dekad di bawah pemerintahan Sultan Iskandar, JCorp mendapat kesempatan sangat luas bertumbuh dan berkembang pesat membina organisasi, sekali gus membangun ekonomi negeri dan negara.

Kesimpulannya, tidak kira sama ada berpusat di istana atau di dominasi parti politik pilihan demokrasi, kegunaan kuasa oleh penguasa politik berperanan paling besar dan sangat kuat mempengaruhi, mencorak dan menentukan prestasi sesebuah GLC.

Sejarah membuktikan bukan sahaja harta GLC, malahan harta wakaf milik ALLAH SWT sekali pun sanggup diperibadikan penguasa politik atau istana. Pernah berlaku di Turki harta wakaf dirampas penguasa politik sekular di bawah pimpinan Kamal Ataturk, tanpa mempedulikan hukum Islam mengenainya.

Pada akhirnya, dalam penggunaan kuasa politik (sama ada istana atau pemimpin pilihan rakyat menerusi demokrasi), kita “…perlu mengingatkan erti dan fungsi raja (atau penguasa) dari perspektif Melayu dan Islam.” (Lihat buku Dr Siddiq Fadzil: “Islam dan Melayu – Martabat umat dan daulat rakyat”).

Dr Siddiq merujuk kepada peringatan Raja Ali Haji dalam bukunya “Thamarat al- Mahammah”: “Raja Ali Haji mengingatkan makna raja bukan “… membuat apa sukanya di atas rakyatnya…” tetapi merujuk pengertian tiga istilah politik Islam: khalifah, sultan dan imam.

Raja dalam pengertian khalifah dimaknai sebagai pengganti dan pelanjut pemerintahan nabawi yang berlandaskan al-Quran, al-Hadith dan al-ijmak. Raja dalam pengertian sultan dimaknai sebagai penguat kuasa keadilan hukum yang bersumberkan ajaran ALLAH dan rasul-Nya. Raja dalam pengertian imam pula dimaknai sebagai pemimpin dan ikutan.”

* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)

Artikel ini telah diterbitkan oleh Sinar Harian pada 25 November 2013

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.