Pulau Sialu Batu Pahat, Pulau Indah Yang Ditinggalkan

Pulau indah yang pernah dihuni lanun dan pahlawan. Itu gambaran mengujakan tentang Pulau Sialu yang terletak berhampiran Minyak Beku, di sini dan sejak sekian lama dikatakan berpotensi dibangunkan sebagai lokasi pelancongan berkonsepkan alam sekitar.

Bermacam idea dilontarkan untuk membangunkan industri pelancongan di pulau itu, antaranya mewujudkan stesen kajian alam sekitar, sewaan bot untuk memancing, bersiar-siar serta sesi fotografi selain dijadikan lokasi program motivasi. Namun, hingga kini, tiada satu pun dilaksanakan secara proaktif oleh pihak yang berkaitan.

Jika sektor pelancongan dibangunkan, masyarakat Orang Kuala yang pernah mendiami pulau itu akan mendapat manfaat menerusi sewaan bot atau menjadi pemandu pelancong yang terbaik untuk menceritakan khazanah dan sejarah pulau yang indah tersebut.

sialu 1

Bagaimanapun, seakan dipinggirkan, keindahan dan potensi Pulau Sialu terus tersembunyi dan lebih menyedihkan, sampah-sarap berselerakan kerana perbuatan segelintir pengunjung tidak bertanggungjawab. Memang itu salah pengunjung, tetapi pihak berwajib tentunya tidak wajar membiarkan sampah-sarap terus mencemar pemandangan dan sebaiknya tempat pembuangan sampah turut disediakan di pulau itu.

Rumah api di pulau itu pula kini menjadi suatu ‘tarikan bahaya’ bagi pengunjung yang mahu melihat pemandangan sekitar pulau dari puncak struktur itu. Ini kerana laluan tangga ke puncak yang hanya mampu memuatkan seorang sudah berkarat dan seakan-akan hanya menunggu mangsa.

Justeru, struktur itu perlu dibaiki atau ditukar dengan yang baru, namun, langkah drastik kini adalah memasang papan tanda melarang aktiviti memanjat rumah api itu untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Sebenarnya Pulau Sialu bukan sahaja mempunyai panorama yang indah, malah, kewujudan rumah api mampu menarik pengunjung selain kehadiran hidupan unik marin iaitu belangkas banyak ditemui di situ. Pulau itu juga menjadi tumpuan golongan kaki pancing kerana kaya dengan hidupan marin serta kerang.

sialu 2

Mengenai nama pulau itu, ia dikatakan berasal daripada perkataan ‘sial lalu’ dan terdapat dua versi mengenainya. Menurut versi pertama, suatu ketika dahulu pulau itu menjadi tempat persembunyian lanun untuk merompak kapal pedagang sehingga golongan yang menjadi mangsa menggelarkan lokasi tersebut sebagai sial lalu.

Versi kedua pula menyatakan, lanun yang merancang merompak kapal pedagang menjadi marah dan menyumpah seranah pulau itu sebagai sial lalu setelah penat menunggu namun tiada kapal lalu di situ. Setelah lanun dibersihkan dari pulau itu, ia menjadi kediaman selama ratusan tahun oleh keturunan Orang Kuala, iaitu pahlawan yang mengawal samudera serta menjadi mata dan telinga kepada Sultan pada zaman Kesultanan Melaka dan Johor suatu ketika dahulu.

Orang Kuala yang beragama Islam dan merupakan sebahagian masyarakat Orang Laut daripada suku Duano di tenggara pantai Sumatera dan Kepulauan Riau. Pada 1 Mac 1894, ketua masyarakat Orang Kuala dipertanggungjawabkan menjaga rumah api di Pulau Sialu yang menjadi panduan kapal-kapal yang berlalu di situ, sekali gus mengangkat kepentingan masyarakat Orang Kuala dan pulau tersebut.

sialu 3

Datuk Bentara Luar Johor mengamanahkan Tok Batin Rahmat untuk menjaga rumah api yang ketika itu setinggi tujuh meter dan diperbuat daripada kayu balak sebelum digantikan dengan rumah api berstruktur konkrit pada 1913. Rumah api dengan struktur konkrit itu masih bertahan hingga kini, namun, tidak lagi berfungsi ekoran kewujudan rumah api di Bukit Segenting yang lebih sesuai digunakan kerana kedudukannya pada paras lebih tinggi.

Orang Kuala menetap di pulau itu hingga 1970-an dan dipindahkan ke Kampung Teluk setelah sebahagian pulau berkeluasan kira-kira dua hektar itu tenggelam akibat peningkatan paras air, namun, mereka dipindahkan sekali lagi ke Taman Desa Sri Banang, Minyak Beku disebabkan masalah sama.

Tinggalan sisa konkrit mungkin tapak sekolah, surau atau tangga rumah milik Orang Kuala masih dapat dilihat di Pulau Sialu terutamanya semasa air surut. Khazanah landskap alam yang indah, keunikan hidupan akuatik, cerita kisah lanun serta pahlawan Orang Kuala dan lokasi berhampiran tanah besar menjadi kombinasi cukup kuat dan mengujakan untuk membangunkan industri pelancongan di situ.

sialu 4

Tetapi entah apa silapnya, sampai sekarang Pulau Sialu semakin dilupakan dan seolah-olah ‘hilang’, malah, pernah dilaporkan pulau itu ‘tidak wujud’ secara rasmi. Ini kerana pulau itu tidak disenaraikan dalam Maklumat Kawasan dan Perimeter Negeri, Daerah dan Pulau di Malaysia di dalam buku yang dikeluarkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) pada 2005.

Mungkin pantun Orang Kuala ini mempunyai kaitan dengan Pulau Sialu yang seakan-akan tidak ketentuan statusnya.

Alu-alu Pulau Sialu,
Sayang Segenting Kampung Cina,
Ikan tergantung, kucing menunggu,
Belum tahu siapa yang punya.

Sumber Utusan Malaysia Online

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.