Sejarah Dan Asal Usul Kampung Melayu Majidee, Permata Johor Bahru

Kira – kira 386 km ke selatan Wilayah Persekutuan Putrajaya atau 8 km ke utara pusat Bandar Johor Bahru terletak sebuah kampong yang didiami oleh 100% penduduk Melayu.

Kampung ini dinamakan Kampung Melayu Majidi. Sebahagian besar penduduk Kampung Melayu Majidi adalah kakitangan kerajaan, pekerja swasta, dan berniaga. Sebelah barat Kampung Melayu ini bersempadan jalan keretapi Johor Bahru ke utara di kawasan perumahan Larkin, disebabkan utara bersempadankan Jalan Tampoi, di sebelah timur bersempadankan Jalan Tebrau dan di sebelah selatannya ialah Taman Suria.

Bandaraya Johor Bahru kini berkembang hingga ke Ulu Tiram di sebelah timur dan kempas di sebelah utara, menjadikan Kampung Melayu kini terletak di tengah – tengah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru. Terdapat tiga pintu utama masuk ke Kampung Melayu Majidi iaitu Jalan Dato Mohd Said Sulaiman, Larkin Perdana, Jalan Utama melalui Jalan Tebrau dan Jalan Sekolah melalui Jalan Tampoi.

majidee 3

Ungku Abdul Majid ibni Temenggung Daeng Ibrahim

Semenjak pusat pentadbiran Johor di Teluk Belanga di pindahkan ke Iskandar puteri pada tahun 1855 oleh Temenggong Daeng Ibrahim, iainya merupakan titik perubahan atau modeninasi negeri Johor. Pada 1 Januari 1866 bandar Iskandar Puteri, yang terletak di Bukit Tanjung Puteri ditukar namanya kepada Johor Bahru. Jabatan kerajaan, mahkamah dan balai polis didirikan. Raja Kechil Ahmad ditugaskan di Iskandar Puteri bertanggungjawab ke atas pentadbiran, keselamatan dan pembangunan negeri Johor. Ungku Abdul Majid, Putera Temenggong Daeng Ibrahim sebagai wakil Raja di Wilayah Timur.

Dalam zaman pemerintahan Sultan Abu Bakar wujud tradisi kurniaan tanah kepada Kerabat Diraja dan pembesar negeri. Tanah kurniaan ini disebut ‘tanah geran mati’ yang bermaksud tanah yang tidak bercukai. Tanah ini diusahakan oleh Kerabat Diraja dan pembesar negeri sebagai menambahkan pendapatan mereka. Ungku Abdul Majid telah dikurniakan tanah yang luas meliputi kawasan Taman Sentosa (sekarang ini) hingga ke Kampung Bendahara yang terletak si sebelah kanan Jalan Tebrau disebelah kiri Jalan Tebrau daripada Taman Majidee hingga ke Jalan Tampoi.

Apabila Ungku Abdul Majid meninggal dunia pada tahun 1889,tanah ini diwarisi oleh Sultan Ibrahim dan Dato Jaafar Muhammad Menteri Besar Pertama. Pada tahun 1920 keseluruhan tanah ini dipunyai oleh DYMM Sultan Ibrahim. Kampung Melayu Majidi ditubuhkan pada tahun 1951.

Pada ketika itu terdapat 11 buah rumah dipangkal Jalan Utama kerana jalan ini merupakan jalan yang mula-mula sekali dibina di Kampung Melayu. Pada tahun 1955, seorang tokoh sejarah negeri Johor Tuan Hj (Dr) Shaharom Husein telah mencadangkan Kampung Melayu, Jalan Tebrau dinamakan Kampung Melayu Majidi dan cadangan ini kemudiannya telah mendapat persetujuan DYMM Sultan Ibrahim.

majidee 1

Majidi adalah nama singkatan Ungku Abdul Majid Ibni Temenggong Daeng Ibrahim. Pada zaman Sultan Abu Bakar, tanah Kampung Melayu Majidi adalah kepunyaan Ungku Abdul Majid. Tidak diketahui bagaimana ejaan Majidi bertukar kepada Majidee.

Ungku Abdul Majid Ibni Temenggong Ibrahim Daeng Ibrahim dilahirkan pada tahun 1845 dan meninggal dunia pada tahun 1889. Pernah menjadi Pemangku Sultan apabila Sultan Abu Bakar meninggalkan Negeri Johor keluar negara. Ibunya seorang cina Islam bernama Moi Bte Abdullah. Apabila Moi bercerai beliau berkahwin dengan seorang bugis bernama Mohbob, lahirlah Muhammad bin Mahbob, Menteri Besar Johor Kedua (1920 hingga 1922).

DYMM Sultan Abu Bakar telah membawa seorang wanita Turki, bernama Rugayah Hanim dan dikahwinkan dengan adindanya, Ungku Abdul Majid pada tahun 1879, dikurniakan dua orang cahaya mata. Pertama Ungku Abdul Aziz Abdul Majid, Menteri Besar Keenam (1936-1947), kedua Ungku Abdul Hamid, Ketua Jabatan Penterjemahan Johor.

majidee 2

Ungku Abdul Majid meninggal dunia pada tahun 1889, Rugayah Hanim berkahwin dengan Syed Abdullah Al-Attas, ahli perniagaan Arab, lahirlah Syed Ali Al-Attas dan Syed Naquib Al-Attas. Perkahwinan ini tidak kekal lama kerana tidak direstui oleh Sultan Abu Bakar. Rugayah kemudiannya berkahwin dengan Dato’ Jaafar Mohamed, Menteri Besar Johor Pertama (1886-1919) dan lahirlah Menteri Besar Johor Kelima yang juga pejuang kemerdekaan negara, Dato’ Onn Jaafar (1947-1950).

Sumber This Is Kg Melayu Majidi

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.