Sejarah Dan Asal Usul Parit Jawa, Syurga Asam Pedas Johor

Parit Jawa, Muar yang cukup sinonim dengan keenakan asam pedas menyimpan satu sejarah yang tidak diketahui ramai. Parit Jawa sebenarnya tempat yang menyaksikan banyak kematian orang Melayu akibat kekejaman Komunis di negeri ini selain yang berlaku di Parit Sulong, Semerah, Senggarang dan Rengit.

Peristiwa itu berlaku selepas era penjajahan Jepun di Tanah Melayu tahun 1941-1945. Kebangkitan orang Melayu yang diketuai Kiyai Salleh dengan melakukan serang balas akhirnya berjaya menewaskan komunis dan mengusir mereka dari Parit Jawa. Sejarah Parit Jawa diceritakan oleh bekas Pengerusi Kaji Sejarah Daerah Muar, Khamis Junid juga merupakan satu-satunya generasi lama yang mengetahui banyak sejarah tentang satu-satu tempat di daerah ini.

jawa 1

Khamis berkata, nama asal Parit Jawa ialah Kampung Baharu dibuka pada tahun 1855 oleh seorang perantau bernama Jabar Matinadjati dari Kampung Malini Jati, Tanah Jawa Indonesia. Menurutnya, Jabar berhijrah ke Tanah Melayu bersama satu rombongan terdiri daripada 39 orang dengan menaiki kapal termasuk lima rakan karibnya iaitu Amir Seri Wongso, Syed Demak, Ngarib, Shamsuri Singokarto dan Samad.

“Semasa tiba di kuala Sungai Muar, Jabar menyusuri sepanjang kuala sungai dan melihat di Parit Sakai (yang dulunya nama padang) sudah ada penduduk. Dia terus menyusur ke selatan kuala Sungai Muar dan jumpa satu tempat (Parit Jawa) walaupun kawasan tersebut ketika itu hanyalah hutan belantara,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Jabar dan rombongan tinggal sementara di kawasan berkenaan sebelum memutuskan untuk membuka kawasan itu dan menamakan Kampung Baharu. Mereka meneroka hutan buka kampung selain melakukan aktiviti bercucuk tanam dan menangkap ikan sebagai sumber ekonomi.

jawa 2

“Selepas itu, penduduk dari Tanah Jawa datang ke Kampung Baharu dan perkampungan itu menjadi semakin besar,” katanya. Tambahnya, nama Kampung Baharu ditukar kepada Parit Jawa secara rasminya pada tahun 1870 apabila Sultan Abu Bakar melantik Jabar sebagai penghulu.

Nama tersebut diambil sempena asal usul Jabar yang datang dari Tanah Jawa, Indonesia. “Terdapat sebuah kampung yang dibuka lebih awal berdekatan Parit Jawa iaitu Bukit Muar atau Bukit Mor yang nama asalnya Kampung Batak. Ada kemungkinan, nama Kampung Batak diberikan kerana pengasas kampung tersebut berasal dari Batak, Indonesia,” katanya.

Beliau berkata, seiring dengan pertambahan penduduk, kawasan Parit Jawa mula berkembang dengan wujudnya pekan. Parit Jawa kemudiannya diperintah oleh Wan Andak yang dilantik menjadi Residen Parit Jawa. “Pada tahun 1873, jawatan Residen Parit Jawa ditukar kepada Penolong Residen kerana jawatan itu dipindahkan ke Muar. Jawatan Penolong Residen sekali lagi ditukar kepada Pegawai Daerah Parit Jawa pada tahun 1901,” katanya.

jawa 3

Pesara guru itu berkata, pada tahun 1944, jawatan Pegawai Daerah Parit Jawa dimansuhkan kerana kawasan itu dimasukkan ke dalam pentadbiran daerah Muar. Katanya, Parit Jawa agak terkenal di daerah ini kerana mempunyai stesen besar keretapi yang dihubungkan dari Bandar Maharani.

“Perkidmatan ini menjadi pengangkutan utama penduduk dan turut digunakan untuk membawa hasil kampung serta buah-buahan. Namun, pada tahun 1929, perkhidmatan ini dihentikan apabila jalan raya dibina dan pengangkutan lori diperkenalkan,” katanya.

Bercerita lanjut, beliau berkata, kawasan Parit Jawa memang menjadi tumpuan utama perantau termasuk mereka dari Selangor yang turut berhijrah dan menetap di situ. Katanya, mengikut sejarah orang-orang terdahulu Sultan Selangor tetapi tidak dapat dipastikan sultan ke berapa, dikatakan baginda pernah datang melawat Parit Jawa, oleh kerana itu, ramai penduduk negeri itu berhijrah.

jawa 4

“Menurut mereka (sejarah orang terdahulu), antara sebab orang Selangor datang ke Parit Jawa kerana pergolakan yang berlaku antara Raja Mahadi dengan Tengku Kudin,” katanya. Beliau berkata, difahamkan, keturunan Jabar di Parit Jawa membuka banyak kebun di Senggarang dan Rengit, Batu Pahat. Khamis berkata, tidak ada kesan tinggalan yang boleh dikaitkan dengan sejarah di Parit Jawa, hanya deretan bangunan lama di pekan tersebut yang dibina sekitar tahun 1900.

Sumber Sinar Harian

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.