Sejarah Dan Asal Usul Seni Warisan Barongan ‘Reog Ponorogo’ Di Johor, Warisan Asli Keturunan Jawa

satu program percuma khas oleh orangjohor.com

Kesenian Reog atau yang lebih dikenali dengan nama Barongan di daerah Batu Pahat mula diperkenalkan kepada penduduk Batu Pahat, Johor pada tahun 1901 khususnya dikawasan Mukim XI oleh Saikon Kentos. Beliau datang dari daerah Ponorogo, Jawa Timur yang kemudian berhijrah ke Batu Pahat dan menetap di Kampung Perpat. Kampung Perpat dipercayai berasal dari perkataan Jawa yakni ‘merpat’ bermaksud berbagai-bagai kaum.

Selain masyarakat Jawa yang mendiami kampung tersebut terdapat masyarakat lain seperti Bugis, Banjar dan Melayu. Oleh kerana majoriti penduduk kampung tersebut orang-orang Ponorogo maka dengan mudah Reyog atau Barongan dipersebarkan. Barongan atau Reyog dijadikan hiburan disamping kesenian lain seperti wayang kulit dan kuda kepang.

barongan 1

Mengenai tarian kuda kepang dipercayai merupakan sebahagian dari persembahan Barongan atau Reyog namun kini telah dilakukan secara berasingan. Masyarakat Jawa membuka petempatan atau perkampungan di daerah lain melalui penghijrahan maka secara langsung ianya juga membawa cara hidup dan adat resam serta kebudayaan asalnya.

Dalam hubungan ini Barongan atau Reog didatangkan dari daerah Ponorogo ke Johor termasuk di Batu Pahat oleh orang-orang Jawa sendiri dan bukan dicipta setelah mereka menetap di Johor. Sedangkan gamelan yang merupakan sebahagian dari peralatan Reog tiba di Johor melalui pendatang-pendatang Jawa berikutan dengan keperluan peningkatan pekerjaan sempena pembukaan tanah-tanah pertanian di Johor pada awal abad 20.

barongan 2

Dahulu di Batu Pahat, sebelum bermulanya persembahan Reog atau Barongan akan diadakan sama ada dalam majlis atau untuk mengiring, upacara sajen (sajian) dengan mengasap kemenyan akan dilakukan. Sajen adalah ritual magis yang dilakukan semata-mata untuk menjaga serta menjamin keselamatan dan kebajikan penonton. Sajen seperti upacara buka panggung dalam wayang kulit dan perlu diadakan setiap persembahan.

Setiap kampung dipercayai mempunyai penunggu dan wajar meminta kebenaran darinya sebelum persembahan Barongan dimulakan. Setiap sajen mengandungi pisang raja satu ikat, kelapa kundil atau yang sudah dikupas sabutnya, beras satu cupak, ayam panggang satu ekor, kemenyan, minyak wangi, rokok, mancis dan cok bakal.

Semenjak keyakinan kepada ajaran Islam para penghijrah sudah mulai menguat, ritual sajen dalam persembahan Reog atau Barongan di Batu Pahat digantikan dengan membaca selawat. Ritual sajen dilenyapkan setelah para pemain Reog diyakinkan bahawa sajen bertentangan dengan ajaran agama Islam. Sehingga kini, ritual sajen tidak pernah dilakukan dalam persembahan Reog atau Barongan di Batu Pahat.

Barongan atau Reog di Batu Pahat hanyalah sebagai hiburan orang-orang kampung dan tidak membawa sebarang kepentingan dari segi kepercayaan dan berfungsi untuk memeriahkan majlis-majlis keramaian, majlis perkahwinan, berkhatan atau sebagai persembahan untuk meraikan pembesar-pembesar negeri. Barongan atau Reog bukanlah hanya sebuah tarian. Ia lebih dari itu. Barongan merupakan satu bentuk teater tradisional di kalangan masyarakat Jawa dan kepada masyarakat moden hari ini ia lebih difahami sebagai dramatari.

barongan 3

Alatan muzik dalam persembahan Reog atau Barongan di Batu Pahat terdiri daripada Gendang, Tipong, Gong, Kenong, Sompret dan Angklung. Alat muzik tersebut dimainkan dengan tiga jenis lagu untuk mengiringi persembahan Reog atau Barongan yakni lagu Kitar atau Iring-iring, lagu Mediunan dan lagu Ponorogoan. Persembahan Reyog atau Barongan mengambil masa dalam 45 menit hingga 1 jam dan dibahagikan menjadi tiga peringkat: Dua orang penari kuda (jathilan), satu penari Singa Barong dan satu penari Bujang Ganong.

Penyesuaian mengikut keadaan setempat menjadi sebab kesenian Reog masih dapat bertahan selama lebih dari 100 tahun bermula dari kemasukannya sehingga dapat diterima sebagai kesenian tradisional masyarakat Jawa Ponorogo di Batu Pahat. Jika di tanah asalnya daerah Ponorogo, Jawa Timur, terdapat pesta Reyog yang diadakan setiap kali perayaan Grebeg Suro atau Awal Muharam, namun ianya tidak diamalkan di Batu Pahat.

Semua elemen budaya yang ada dalam kesenian Reog atau barongan digerakkan secara aktif oleh masyarakat Jawa Ponorogo di Batu Pahat, terutama di Parit Baru dan Parit Bingan. Kumpulan Reog di Batu Pahat juga dalam persembahan juga menggunakan peralatan muzik tradisional yang biasa disebut gamelan. Selain itu para ahli kumpulan juga boleh menggayakan watak Warok, satu karakter pahlawan masyarakat Jawa Ponorogo di Jawa Timur.

Kesenian Reog diteruskan tanpa ada sebarang perubahan dalam paluan muzik dan iramanya. Ia menunjukkan bahawa masyarakat Jawa Ponorogo di negara ini bukan sekadar membawa masuk tarian, malah muziknya sekali. Alat gamelan seperti genang, gong, tipung, angklung dan kenong juga sama seperti di Jawa, Indonesia.

barongan 4

Reog atau Barongan di Batu Pahat, mengalami penyesuaian dalam persembahan. Kesenian Reog atau Barongan mengalami pengaruh Islamisasi sebagai bentuk penyesuaian dengan keadaan masyarakat tempatan. Diantaranya jika penari kuda perempuan (jathilan) ditanah induknya di Jawa tidak bertudung, di Batu Pahat hampir semua penari kuda perempuan memakai tudung.

Sekalipun penari kuda bertudung namun tidak mempengaruhi dan mengubah corak tarian dan rentak persembahan. Begitu juga dengan tokoh hero lelaki atau yang disebut Warok dalam persembahan Barongan di Batu Pahat memakai baju hitam dengan T-shirt belang-belang merah berseluar hitam panjang, sedangkan di tanah asalnya tokoh Warok dalam persembahan tidak memakai baju seragam, hanya seluar hitam panjang dengan tali pinggang yang besar.

Selain itu berat kepala harimau yang menjadi unsur utama kesenian Reog atau Barongan di Batu Pahat juga mengalami penyesuaian antara 15-20 kg, bilamana di Ponorogo, Jawa Timur beratnya mencapai 60 kg sehingga tak semua orang boleh ikut memainkan. Walaubagaimanapun, terdapat juga peserta tarian Barongan yang ke’surupan’ atau disampuk makhluk halus ketika memainkan upacara Barongan ini.

barongan 5

Namun terdapat isu mengenai dakwaan dalam laman web online JKKN Malaysia yang menyebut bahawa kesenian Barongan menceritakan tentang kisah Nabi Sulaiman yang boleh bercakap dengan haiwan-haiwan. Dakwaan ini telah ditentang oleh kumpulan Reog di Batu Pahat dan juga para peminat Reyog di tanah asalnya, Ponorogo Jawa Timur kerana dianggap tidak tepat dan bercanggah dengan asal usul Barongan itu sendiri.

Mengikut kepercayaan pengamal budaya Reog ini, asal usul Reyog Ponorogo di Jawa Timur mengisahkan tentang pertempuran antara Raja Ponorogo dengan Singa Barong yang merupakan penjaga hutan Lodoyo. Raja yang bernama Pujangga Anom membuatkan singa itu bangun dari tidur dan marah kerana beliau telah menculik 150 anak Singa yang terdapat di hutan Lodoyo. Anak-anak Singa itu digunakan oleh beliau sebagai mas kawin pernikahannya dengan seorang puteri yang merupakan anak Raja Kadiri.

Pertempuran diantara Pujangga Anom dan singa penjaga hutan Lodoyo kemudian tidak dapat dielakkan. Kisah itu kemudiannya telah menjadi legenda kepada rakyat Ponorogo dan kawasan sekitarnya tentang keberanian dan ketabahan orang-orang Ponorogo dan akhirnya dipersembahkan penceritaan tersebut melalui tarian Reog Ponorogo.

barongan 6

Sehingga kini meskipun terdapat beberapa pihak yang sangsi dan menentang tarian Barongan kerana dianggap khurafat kerana terdapat campur aduk dengan unsur dari agama Hindu, ianya masih diamalkan dibeberapa tempat di Batu Pahat. Majlis Agama Islam Johor sehingga kini tidak mengeluarkan pandangan mengenai tarian kebudayaan Barongan ini sama ada melanggar syarak mahupun tidak.

Sumber maklumat Kajian HUBUNGAN KEBUDAYAAN INDONESIA DAN MALAYSIA : SEJARAH DAN PERKEMBANGAN REYOG PONOROGO KE BATU PAHAT, JOHOR, oleh Arik DJ dari Universiti Malaya

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.