Sejarah Dan Fungsi Dewan Negeri Johor, Penggubal Undang-Undang Negeri

Dewan Negeri Johor terdiri daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri. Pemilihan ADUN dibuat semasa pilihan raya umum atau pilihan raya kecil yang diadakan di dalam tempoh sepenggal (5 tahun). Dewan Negeri Johor dinaungi oleh Baginda Sultan Johor sebagai Ketua Negeri.

Speaker atau Yang Dipertua Dewan Negeri Johor yang terkini ialah Tan Sri Mohamad Aziz. Kesemua ahli-ahli politik bagi Dewan Negeri Johor akan bersidang di Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri (dahulu dikenali sebagai Nusajaya), Johor.

Dewan Negeri Johor terdiri daripada Sultan sebagai Ketua Negeri, seorang Speaker dan Ahli-ahli Dewan Negeri yang terdiri daripada ahli-ahli politik yang menang dalam pilihan raya.

dun 1

Berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 Bahagian 2 Fasal 26, pembukaan rasmi Dewan Negeri Johor dilakukan oleh Sultan pada setiap pertengahan tahun. Pada upacara pembukaan ini, Sultan menyampaikan ucapan serta perutusan dalam Dewan Negeri.

Kesemua Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Sultan. Kesemua Exco, termasuk Menteri Besar, yang juga sebahagian daripada Ahli Dewan Negeri, adalah atas lantikan Sultan.

Keanggotaan Ahli-ahli Dewan Negeri akan kekal selama lima tahun sekiranya Dewan Negeri tidak dibubarkan dalam tempoh berkenaan. Sultan mempunyai kuasa untuk membubarkan Dewan Negeri. Apabila Dewan Negeri dibubarkan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam jangka masa 60 hari dari tarikh pembubaran.

Dewan Negeri yang baru akan dipanggil untuk mengadakan mesyuarat pada satu tarikh yang tidak lewat daripada 90 hari dari tarikh berkenaan. Jika sesebuah kerusi dikosongkan secara mengejut, tempoh dua bulan diberikan untuk mengisi kekosongan berkenaan seperti yang termaktub dalam Bahagian 2 Fasal 23: “Sesebuah kerusi yang kosong dengan mengejut itu hendaklah diisikan dalam tempoh 60 hari dari tarikh berlakunya kekosongan itu.”

dun 2

Peraturan-peraturan dan Perintah-perintah Tetap 7(1) menetapkan segala mesyuarat Dewan Negeri diadakan sebanyak empat kali setahun, sementara mesyuarat Dewan Negeri di dalam satu-satu penggal persidangan itu hendaklah diadakan pada hari dan waktu sebagaimana yang ditetapkan oleh Speaker.

Seseorang Ahli Dewan Negeri boleh, pada masa yang sama, memegang jawatan sebagai ahli Dewan Rakyat. Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Dewan Negeri, setiap Ahli Dewan Negeri diwajibkan mengangkat sumpah di hadapan Speaker. Ahli Dewan Negeri dikehendaki bersumpah dan berjanji bahawa mereka akan menjalankan tugas-tugas sebaik mungkin dan berikrar taat setia kepada Negeri dan Negara, sekali gus mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan Negara.

Segala Rang Undang-undang atau Bil yang telah diluluskan oleh Dewan Negeri akan ditandatangani oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor dan akan menjadi undang-undang setelah disiarkan dalam Warta Kerajaan.

dun 3

Fungsi lain Dewan Negeri adalah:

  • Persidangan Dewan Negeri
  • Memilih speaker
  • Membahaskan titah ucapan Sultan
  • Pemasyhuran daripada Speaker
  • Membawa usul-usul untuk dibahaskan, sama ada untuk diterima atau ditolak
  • Membawa rayuan-rayuan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Negeri setelah disahkan oleh Speaker
  • Mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Besar berhubung isu yang termasuk dalam urusan jabatan rasminya
  • Memberi peluang kepada Ahli Dewan Negeri untuk menyampaikan ucapan puji-pujian, ucapan takziah atau memberi penerangan sendiri
  • Memberi peluang kepada Menteri Besar untuk memberikan penjelasan

Dewan Negeri yang hendak bersidang mestilah mempunyai bilangan Ahli mengikut jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri (56 bagi penggal sekarang), yang termasuk seorang Speaker, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan Ahli Dewan Negeri.

Perjalanan Dewan Negeri Johor adalah tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 dan Peraturan- Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap Dewan Negeri Johor.

Mengikut Peraturan-Peraturan dan Perintah-Perintah Tetap 5, Persidangan Dewan Negeri Johor dijalankan dengan menggunakan Bahasa Melayu. Johor adalah satu-satunya negeri yang tidak menggunakan perkataan ‘Undangan’ pada Dewan Undangan Negeri kerana sudah tertakluk di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1895 bahawa hanya istilah Dewan Negeri digunakan.

dun 4

Persidangan Dewan Negeri turut dihadiri oleh ketua-ketua jabatan dan Ex-Officio yang terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan.

Peranan Ahli Dewan Negeri ketika persidangan berlangsung ialah menyuarakan pendapat, membangkitkan perkara-perkara yang mempunyai kepentingan awam atau berbincang secara terbuka mengenai isu-isu yang menjadi tumpuan, rungutan atau masalah rakyat. Pembentangan Belanjawan Negeri Johor diadakan pada penghujung tahun sebagaimana yang dijadualkan.

dun 5

Fungsi Speaker Dewan
Mengikut Bahagian 2 Fasal 24(1A) dan 24(1B), Speaker Dewan Negeri boleh dipilih sama ada di kalangan Ahli Dewan Negeri atau bukan Ahli Dewan Negeri.

Selain berperanan mengetuai persidangan, Speaker juga bertanggungjawab mengawal perjalanan mesyuarat dan membuat keputusan atas apa-apa isu yang dibangkitkan di dalam dewan oleh Ahli Dewan Negeri.

Fungsi Jurutulis
Jurutulis bertindak sebagai ketua kepada urus setia persidangan Dewan Negeri. Berbeza dengan negeri-negeri lain yang menggunakan gelaran Setiausaha Dewan sebagai setiausaha mesyuarat, pelaksana tugas yang sama untuk Dewan Negeri Johor ialah Jurutulis atau Penolong Jurutulis.

Sebelum persidangan Dewan Negeri dimulakan, Jurutulis akan menghantar surat pemberitahuan mesyuarat kepada Ahli Dewan Negeri sekurang-kurangnya genap 21 hari dari hari persidangan hendak diadakan.

Walaupun begitu, jika terdapat perkara yang perlu disegerakan, surat pemberitahuan mesyuarat akan dihantar seberapa segera yang boleh.

dun 6

Jurutulis juga bertanggungjawab menerima soalan lisan daripada Ahli Dewan Negeri yang akan dikemukakan dalam persidangan, mendapatkan jawapandaripada ketua-ketua jabatan berkaitan perkara yang memerlukan penjelasan serta rundingan, usul dan ucapan penangguhan daripada Ahli Dewan Negeri.

Selain itu, Jurutulis juga menjadi setiausaha kepada tiga Jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah kuasa Dewan Negeri.

Jawatankuasa-jawatankuasa yang ada pada masa ini adalah:

  • Jawatankuasa Kira-Kira Raya
  • Jawatankuasa Hak dan Kebebasan
  • Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Tetap Dewan Negeri

Pada tahun 2016 buat pertama kalinya dalam sejarah, Barisan Nasional negeri Johor kehilangan dua pertiga majoriti selepas ADUN Jorak, Muar, Datuk Dr. Sharuddin Md Salleh keluar dari UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia. PPBM merupakan parti komponen baharu di dalam Pakatan Harapan.

Sumber Kesultanan Johor Blogspot

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.