Sejarah Mersing, Sempena Nama Gadis Pak Malau

Ketika melewati bandar Mersing, teringat kepada lagu dan filem Melayu klasik Sri Mersing yang diarahkan oleh Salleh Ghani pada tahun 1961, lakonan seniwati veteran Datin Rosnani Jamil dan Nordin Ahmad.

mersing 1

Filem ini cukup dikenang kerana kehebatan pantunnya yang seolah-olah malar segar. Pastinya kita tidak dapat melupakan pantun Damak (lakonan Nordin Ahmad);

Kajang Pak Malau kajang berlipat,
Kajang hamba mengkuang layu,
Dagang Pak Malau dagang bertempat,
Dagang hamba musafir lalu

Pantun itu dilafazkan ketika Damak hendak meninggalkan Mersing. Hebatnya ungkapan yang menjadi kekuatan filem tersebut, sekali gus ia dikatakan menjadi sejarah atau asal usul Mersing mendapat namanya.

Peristiwa bermula apabila Sri Mersing dilarikan Awang Sulung (dilakonkan oleh Mahmud June), anak kepada Tok Penghulu, tetapi Damak, teruna perantau dari Pahang difitnah melakukan perkara tersebut.

Akibat fitnah itu, Damak sekeluarga dihalau dari kampung tersebut. Akibat kelancangan mulut Pak Malau, anaknya Sri Mersing menjadi mangsa kerana dia pernah berjanji akan mengahwinkan anaknya dengan pemuda yang berjaya menemui Sri Mersing.

Awang Sulung sememangnya menaruh hati terhadap Sri Mersing, sering mencari helah membuktikan dia yang menemui Sri Mersing. Tidak mahu dikatakan mungkir janji, Pak Malau bersetuju menjodohkan Sri Mersing dengan Awang Sulung.

Sri Mersing tidak setuju dengan permintaan ayahnya itu, lalu melarikan diri ke rumah Damak.

mersing  2

Tok Penghulu mencari Sri Mersing di rumah Damak dan mendapati dia berada di situ. Akibatnya, Damak sekeluarga diseksa dan dihina oleh pengikut Awang Sulung. Sebagai anak jantan, Damak mahu beradu tenaga dengan Awang Sulung sehingga anak Tok Penghulu itu mati di tangannya.

Selepas kejadian itu, Damak sekeluarga pulang ke Pahang. Walaupun dirayu oleh Sri Mersing dan Pak Malau, namun hati Damak sangat terluka dan tetap berkeras meninggalkan Mersing. Daripada peristiwa itulah, Mersing dikatakan memperoleh namanya.

mersing 3

Tempat buangan penderhaka

Bagaimanapun, mengikut legenda atau cerita yang disampaikan oleh penghulu kedua Mersing, Mohd Aris Mohid, nama Mersing diambil daripada nama seorang lelaki berbangsa Sikh iaitu Man Singh atau Amer Singh.

Man Singh adalah pengawal istana Sultan Pahang di Pekan. Dia kononnya melarikan perempuan istana. Sultan murka lalu menitahkan pengawal menangkap Man Singh sama ada hidup atau mati.

Man Singh ditangkap lalu menerima hukuman buang daerah ke suatu tempat terpencil. Hukuman itu dikatakan berlaku ketika kawasan itu belum menjadi tumpuan penduduk. Bagi merujuk tempat buangan penderhaka sultan itu, penduduk sekitar menyebutnya Amer Singh atau Man Singh hingga tempat itu kekal namanya menjadi Mersing hingga hari ini.

mersing 4

Berkembang lebih pesat

Mersing terletak kira-kira 128 km dari Johor Bahru semakin membangun menjadi destinasi pelancongan di Johor.

Daerah ini terkenal dengan keindahan pulau pelancongan di perairan Laut China Selatan, selain pantai peranginan seperti Tanjung Leman, Pantai Air Papan, Pantai Penyabung dan Pantai Pasir Lanun.

Populariti Pulau Tioman, Pulau Rawa, Pulau Sibu dan Pulau Pemanggil menggamit kehadiran pelancong berkunjung ke Mersing. Jeti Penumpang Jabatan Laut Mersing dikenali sebagai hub pelancongan yang membawa pengunjung ke pulau berdekatan sekitar daerah Mersing.

Mersing bakal berkembang lebih pesat lagi selepas ia dimasukkan dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Selain pulau dan pantai, Taman Negara Endau-Rompin yang juga hutan simpan tertua di dunia terletak dalam daerah Mersing. Ia menawarkan pelancongan berbentuk pengembaraan yang popular di kalangan pelancong Eropah.

Sumber Berita Harian

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

Kontribusi oleh : Iskandar Zulqarnain
Persona non grata. Jejaka kacak dari Telok Anson
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.