Sultam Ibrahim Ingatkan Datuk Bandar, YDP Tidak Terbabit Politik, Tumpu Soal Kepentingan Rakyat

DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima mengadap serta menyampaikan amanat penting kepada Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis Daerah bagi memastikan agenda pembangunan rakyat terus diutamakan.

Dalam pertemuan selama satu jam di Kelab Polo DiRaja Johor, Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru hari ini (26 Feb), Baginda bertitah mengingatkan Datuk Bandar serta semua Yang Dipertua Majlis Daerah di negeri ini supaya tidak terlibat dengan politik.

“Anda semua adalah penjawat awam negeri Johor (JCS) dan perlu sentiasa memberi tumpuan kepada soal pentadbiran serta penguatkuasaan. Jangan terlibat atau campur dalam politik.

“Sebagai penjawat awam anda semua mempunyai tanggungjawab untuk bersama-sama memajukan negeri Johor serta kawasan pentadbiran masing-masing di samping mengutamakan masalah rakyat,” titah Baginda.

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah mahu Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis Daerah menjalankan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.

“Tumpukan perhatian pada kawasan pentadbiran masing-masing termasuk soal keindahan, kebersihan, pemasangan papan tanda. Jika ada pelan pembangunan projek dikemukakan sila teliti secara terperinci.

“Pastikan pelan pembangunan itu menepati ciri-ciri yang diperlukan antaranya soal landskap, keselamatan, kualiti jalan raya, laluan pejalan kaki dan basikal. Ini semua membabitkan kepentingan rakyat secara keseluruhan,” titah Baginda.

Tuanku Sultan Ibrahim bertitah mahu Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis Daerah supaya mengemukakan laporan mengenai keindahan setiap daerah kepada Baginda dalam tempoh terdekat.

Pada masa sama, Baginda mahu Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis Daerah mengemukakan cadangan mengenai pembangunan serta kemajuan negeri.

datuk 1 datuk 2 datuk 3 datuk 4 datuk 5 datuk 6 datuk 7

Loading...

Anda dijemput untuk like facebook page rasmi orangjohor.com

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.